Selasa, 20 Oktober 2020 | 12:04pm
Majlis pelancaran secara maya Akademi Nazir Razak - Foto ihsan CIMB
Majlis pelancaran secara maya Akademi Nazir Razak - Foto ihsan CIMB

CIMB lancar Akademi Nazir Razak

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB melancarkan Akademi Nazir Razak dan Jaringan Alumni CIMB dalam satu majlis yang diadakan secara maya.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, kemudahan latihan kumpulan sedia adanya itu dinamakan semula sempena nama bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Nazir Razak, yang memainkan peranan penting dalam membantu CIMB menjadi antara kumpulan kewangan utama di rantau ini.

Serentak dengan itu, Nazir menjadi ahli dan penaung pertama berdaftar di Jaringan Alumni CIMB yang baru dilancarkan itu bagi bekas kakitangan dan pekerja sedia ada sekarang.

Pengerusi CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata nama Nazir terpahat dalam lipatan sejarah CIMB sebagai pemimpin perintis dan menabur bakti tanpa penat lelah selama 29 tahun berkhidmat bersama kumpulan itu.

Di bawah pimpinannya, CIMB berkembang daripada hanya jenama tempatan Malaysia menjadi sebuah kumpulan perbankan utama di rantau ini, bank kelima terbesar dari segi aset di ASEAN dan mempunyai operasi di semua negara di ASEAN, kata Mohd Nasir.

Beliau berkata, Nazir juga aktif dalam menyumbang kepada masyarakat dan memainkan peranan penting dalam penubuhan CIMB Foundation, pertubuhan bukan keuntungan yang ditubuh untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat dan inisiatif dermawan kumpulan CIMB, yang kini telah memasuki tahun ke-13.

Akademi Nazir Razak terletak di Bangi, Selangor, dan menawarkan kursus merangkumi kemahiran teknikal dalam kumpulan perbankan selain latihan bidang bukan teknikal.

Sementara itu, penubuhan Jaringan Alumni CIMB dilihat sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara bekas kakitangan dan kumpulan yang menawarkan peluang bagi perangkaian perkongsian maklumat serta menyokong pemerolehan tenaga kerja di samping memastikan legasi jenama CIMB yang berkekalan.

Tokoh-tokoh terkemuka yang pernah berkhidmat dengan CIMB termasuklah Tan Sri Md Nor Yusof, Tan Sri Munir Majid dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata Jaringan Alumni CIMB akan menyediakan bukan sahaja platform bagi mengeratkan lagi hubungan antara bekas rakan sekerja tetapi juga menawarkan peluang kepada pasukan sedia ada CIMB untuk belajar daripada pengalaman dan kebijaksanaan bekas pemimpin serta rakan sekerja.

-BERNAMA

Berita Harian X