Selasa, 20 Oktober 2020 | 11:52am
FOTO hiasan
FOTO hiasan

Cadangan PLSB: FGV jamin lindungi kepentingan pemegang saham

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) memberi jaminan akan sentiasa melindungi kepentingan pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam menilai cadangan Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) menjadi pemegang sahamnya.

Setelah mempertimbangkan cadangan PLSB, Lembaga Pengarah FGV berpendapat, bahawa ia memerlukan penelitian dan penilaian lebih lanjut bagi mewujudkan potensi sinergi, tambah nilai dan faedah peningkatan perniagaan minyak sawit kumpulan bersama dengan organisasi Bumiputera yang berwibawa, yang mana Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary adalah Pengarah PLSB.

Katanya, FGV telah memulakan program transformasi yang agresif pada 2018, yang menghasilkan perubahan operasi untuk perniagaan minyak sawit kumpulan.

"Lembaga Pengarah juga telah menyetujui rancangan untuk meneroka peluang pembangunan strategik di dalam dan di luar sektor perladangan.

"Oleh itu, Lembaga Pengarah akan menilai cadangan PLSB dengan sewajarnya. Kini, FGV menghasilkan sekitar tiga juta tan minyak sawit mentah setiap tahun, 70 peratus daripadanya adalah dari pekebun kecil dan pembekal pihak ketiga yang lain," kata Lembaga Pengarah FGV kepada BH menerusi email bagi mengulas mengenai cadangan PLSB itu.

Lembaga Pengarah FGV berkata, mereka akan sentiasa melindungi kepentingan pemegang saham FGV dan pihak berkepentingan lain, terutamanya peneroka FELDA yang mana adalah bahagian penting dalam rantaian bekalannya.

Lembaga Pengarah syarikat perladangan itu juga akan, pada waktunya, melantik penasihat bebas untuk memastikan bahawa pemegang saham minoriti diberi nasihat secara bebas mengenai cadangan berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2020, FGV berkata, PLSB melahirkan minat untuk menyertai FGV menerusi suntikan aset perladangan ke dalam FGV untuk pertimbangan saham, dan PLSB berpotensi menjadi pemegang saham terbesar dalam FGV sebaik saja urus niaga itu selesai.

PLSB adalah unit dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menerusi pegangan persendirian dalam Restu Jernih Sdn Bhd, dan memiliki Tradewinds group of companies, yang termasuk Tradewinds Plantation Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan sama dengan FGV.

Beberapa penganalisis pasaran berpendapat, cadangan PLSB untuk menjadi pemegang saham FGV menerusi suntikan aset perladangan berpotensi membolehkan Tawaran Am Mandatori (MGO) dilaksanakan.

Secara amnya, MGO boleh dilaksanakan apabila pemilikan saham sesuatu pihak itu melebihi ambang 33 peratus, yang mana membolehkan pihak berkenaan menawar membeli baki saham yang bukan miliknya, sekali gus muncul sebagai pemegang saham tunggal.

Berita Harian X