Isnin, 19 Oktober 2020 | 10:35pm
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin.

MD, CEO UEM Sunrise letak jawatan 30 Oktober

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Anwar Syahrin Abdul Ajib yang akan berkuat kuasa pada 30 Oktober.

Pengerusinya, Datuk Noorazman Abd Aziz, berkata Anwar melepaskan keahliannya dalam Jawatankuasa Lembaga Pembangunan; Jawatankuasa Lembaga Tadbir Urus dan Risiko; serta Jawatankuasa Lembaga Tender berkuat kuasa 19 Oktober 2020.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas kepimpinan dan sumbangannya selama enam tahun ini. UEM Sunrise telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri dengan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia, Australia dan Afrika Selatan.

"Kami mendoakan kejayaan beliau dalam segala usahanya pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini, menyatakan Lembaga Pengarah telah memulakan proses formal untuk mengenal pasti calon jawatan MD dan CEO.

Noorazman berkata, satu Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah telah dibentuk untuk memberikan penyeliaan secara am dan tadbir urus semasa tempoh peralihan.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah mempunyai kepercayaan penuh terhadap pasukan pengurusan dalam menguruskan operasi harian syarikat, selain memastikan tiada gangguan terhadap kecemerlangan produk dan perkhidmatan UEM Sunrise.

Pada 9 Oktober, UEM Sunrise mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Anwar Syahrin telah memberikan notis peletakan jawatannya untuk meneruskan peluang kerjaya lain. - Bernama

Berita Harian X