Isnin, 19 Oktober 2020 | 6:10pm
Gambar fail. Pesawat milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. - Foto: Samsul Said/Bloomberg
Gambar fail. Pesawat milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. - Foto: Samsul Said/Bloomberg

Rundingan struktur semula Malaysia Airlines ambil masa

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai penstrukturan semula Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) dengan pemiutang, pemajak dan pembekal dijangka akan mengambil masa yang lebih lama berbanding perancangan awalnya.

Sumber yang rapat syarikat penerbangan nasional itu berkata, rundingan ketika ini sedang giat dijalankan dan kumpulan akan sedang mencuba sedaya upaya memastikan kejayaan penstrukturan semula itu.

Beliau berkata, perbincangan dengan mendapatkan kata sepakat dari pihak pemiutang, pemajak pesawat dan pembekal memerlukan sedikit masa lagi kerana banyak perkara perlu diperhalusi mereka.

"Rundingan giat dijalankan tetapi ia akan berlarutan dalam tempoh waktu yang lama berbanding perancangan awal Malaysia Airlines.

"Perkara ini perlu diteruskan demi kelestarian syarikat. Tetapi setakat ini Malaysia Airlines mendapat sokongan yang menggalakkan dari semua pihak yang terbabit.

"Malaysia Airlines juga baru-baru ini turut berkongsi mengenai perkara itu dengan kakitangannya," katanya kepada BH.

Dalam temubual bersama BH baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail, berkata Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines juga katanya sedaya-upaya memastikan kejayaan penstrukturan ini.

Beliau berkata, MAG sedang mencuba sedaya upaya untuk memastikan kejayaan kerana pihaknya percaya dengan sokongan pemiutang, pemajak pesawat dan pembekal utamanya, pelan penstrukturan semula ini mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pihak.

Izham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAG berkata, penyelesaian yang lebih mendalam khususnya dalam pengurusan kapasiti perlu dilihat dengan lebih serius bagi menjamin senario industri penerbangan negara menjadi lebih mapan dan berdaya saing.

Malaysia Airlines pada awal Oktober lalu melaksanakan proses kecemasan penyusunan semula perniagaan dan modalnya dengan mengkaji Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTBP) dalam usaha memastikan kesesuaian dan kelangsungan kumpulan yang terkesan oleh penularan COVID-19.

Sebagai permulaan, pihaknya sudah menghubungi pemberi pinjaman, pemiutang, dan pembekal utama mereka baru-baru ini mengenai usaha yang amat mendesak itu.

Ia berkata, pelan itu yang memerlukan penyusunan semula komprehensif perniagaan dan struktur modal, adalah amat bergantung kepada sumbangan semua pemegang taruh yang berkaitan secara individu.

Langkah berkenaan katanya, amat kritikal kepada Malaysia Airlines untuk keluar daripada krisis dan kembali muncul sebagai kumpulan penerbangan yang mantap dari segi permodalan serta kewangan.

Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham tunggal syarikat penerbangan itu juga sebelum ini menegaskan kejayaan penstrukturan semula Malaysia Airlines amat bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, termasuklah pihak pemiutang dan pemajak pesawat.

Sebarang suntikan dana oleh Khazanah ke dalam Malaysia Airlines tertakluk kepada sejauh mana pemiutang di dalam dan luar negara sanggup mengurangkan beban hutang yang ditanggung oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pengurangan beban hutang akan membolehkan Malaysia Airlines memantapkan kedudukan kewangannya dan terus maju ke hadapan.

Beliau berkata, sebarang dana yang disuntik ke dalam Malaysia Airlines seharusnya digunakan untuk memperkukuhkan syarikat penerbangan itu serta memelihara sebanyak mana pekerjaan yang termampu, dan bukan digunakan sebahagian besarnya untuk menanggung beban hutang pada tahap yang sedia ada.

Berita Harian X