Isnin, 19 Oktober 2020 | 12:29pm
Malindo Airways Sdn Bhd.
Malindo Airways Sdn Bhd.

Malindo Air kecilkan operasi, kurangkan pekerja

KUALA LUMPUR: Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) akan beroperasi pada skala yang lebih kecil dan terpaksa mengurangkan sehingga 2,200 pekerjanya dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan ekoran impak COVID-19 ke atas industri penerbangan.

Sumber berkata, perkara itu sudah dimuktamadkan oleh pengurusan Malindo Air pada mesyuarat yang berlangsung Jumaat lalu.

Beliau berkata, ketika ini syarikat penerbangan tambang rendah itu mempunyai 3,200 pekerja memuktamadkan untuk mengekalkan hanya kira-kira 1,000 pekerja.

"Armada pesawat Malindo Air juga akan dikurangkan. Syarikat beroperasi dengan lima buah pesawat berkuasa jet merangkumi Boeing 737-900ER dan 737-800 serta enam pesawat turboprop ATR72-600.

"Syarikat juga meminta pekerja yang masih kekal melaksanakan bidang tugas berganda, bagi menampung kekurangan tenaga kerja.

"Tempoh akhir untuk pekerja yang terbabit dalam pemberhentian itu adalah pada 30 November ini," katanya kepada BH.

Malindo Air sebelum ini pernah mempunyai 5,200 pekerja telah menjalankan proses pembuangan pekerja tahun ini.

Ia juga telah mengurangkan lebih daripada 50 peratus kapasiti penerbangannya berbanding 2019.

Armada pesawat Malindo Air yang beroperasi sebelum ini adalah sebanyak 24 buah pesawat Boeing 737-800 dan enam pesawat 737-900ER serta 12 buah pesawat ATR 72-600.

Mac lalu, Malindo Air memindahkan pesawatnya kepada syarikat sekutunya Batik Air.

Pengurusannya juga telah melaksanakan beberapa langkah pengawalan seperti menggantung beberapa perkhidmatan, selain meminta penangguhan bayaran daripada operator lapangan terbang, syarikat pengurusan darat dan pembekal/vendor.

Ia juga meminta pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela, manakala pengurusan kanannya dipotong gaji sehingga 40 peratus.

Ketika awal penubuhannya, Malindo Air adalah syarikat penerbangan usaha sama antara National Aerospace & Defense Industries (NADI) dari Malaysia sebanyak 51 peratus kepentingan bersama Lion Group dari Indonesia (49 peratus).

Syarikat itu berpangkalan di Subang Skypark dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun pada 2017, NADI melupuskan keseluruhan kepentingan dalam syarikat penerbangan itu.

Ketika ini, pemegang saham utama Malindo Air adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy melalui Sky One Investors Sdn Bhd sebanyak 51 peratus, manakala Lion Group menguasai 49 peratus.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X