Isnin, 19 Oktober 2020 | 9:20am
Ibu pejabat Skymind di Pulau Pinang
Ibu pejabat Skymind di Pulau Pinang

Acme sertai Skymind dalam industri AI

KUALA LUMPUR: Acme Holdings Bhd meneroka segmen teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kerjasama dengan Skymind Intelligence Systems Sdn Bhd.

Jalinan usaha sama itu akan menyaksikan pembukaan kilang pemasangan elektronik peranti edge atau 'edge device' iaitu peranti pintu masuk ke dalam teras rangkaian penyedia perkhidmatan atau perusahaan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, fasiliti perkilangan itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

"Syarikat adalah pembina khusus ekosistem AI yang pertama di dunia, membolehkan syarikat dan pertubuhan untuk membangunkan aplikasi AI mereka sendiri dan menyediakan peralatan untuk menjadi pencipta di dalam industri masing-masing," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Acme adalah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia yang terbabit dalam pelaburan dan pajakan hartanah.

Segmen yang diceburi syarikat adalah termasuk pembuatan komponen plastik dan pembangunan Hartanah.

Anak syarikatnya adalah termasuk Supportive Technology Sdn Bhd dan Welcome Properties Sdn Bhd.

Menerusi Supportive Technology, mengeluarkan pembesar suara plastik dan kayu bagi sistem hiburan rumah, stereo dan komputer, selain daripada produk penyiaran audio digital (DAB) untuk pasaran tempatan dan eksport.

Sementara itu, Welcome Properties pula terbabit di dalam pembangunan hartanah dan memiliki dua kilang yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

Berita Harian X