Jumaat, 16 Oktober 2020 | 6:06pm
DiGi.com Bhd
DiGi.com Bhd

DiGi catat untung bersih lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih DiGi.com Bhd susut kepada RM320.75 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020, daripada RM356.04 juta pada suku ketiga tahun sebelumnya.

Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM1.57 bilion daripada RM1.56 bilion sebelumnya, didorong oleh pelancaran pelbagai produk inovatif dan penyelesaian digital yang lebih luas yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kesalinghubungan pelanggan, kata penyedia telekomunikasi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia menambah, pendapatan asas sesahamnya merosot kepada 4.13 sen berbanding 4.58 sen pada suku ketiga 2019.

DiGi berkata, corak penggunaan datanya telah stabil pada suku berkenaan, sekali gus menyaksikan penguncupan 3.9 peratus suku ke suku dalam jumlah trafik data.

"Kami juga melihat peralihan geografi terhadap penggunaan yang stabil ke kawasan komersial ketika sektor ekonomi dan pusat komersial dibuka semula secara berperingkat selepas sekatan pergerakan," katanya.

Mengenai prospek syarikat, DiGi berkata, industri akan terus berhadapan dengan cabaran yang tiada tandingannya berikutan gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia dan kesan pandemik yang tidak terkawal terhadap ekonomi.

"Oleh itu, kami sedang menyesuaikan panduan 2020 bagi mencerminkan tempoh yang tidak menentu ini, dengan mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Bersyarat (PKPB) yang sedang berlangsung di negeri dan daerah tertentu serta kesannya terhadap kedai dan saluran fizikal kami," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X