Jumaat, 16 Oktober 2020 | 5:57pm
Agrobank sedia penyelesaian pembiayaan komprehensif kepada komuniti pertanian - Foto hiasan
Agrobank sedia penyelesaian pembiayaan komprehensif kepada komuniti pertanian - Foto hiasan

Agrobank komited jamin bekalan makanan negara

KUALA LUMPUR: Agrobank komited menyumbang kepada pembangunan sistem makanan, dengan meningkatkan jaminan bekalan melalui pelbagai program pembiayaan.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, berkata walaupun Malaysia tidak berdepan sebarang krisis jaminan bekalan makanan buat masa ini, namun negara masih perlu bersiap sedia dan menjadikan COVID-19 sebagai peringatan awal untuk bertindak pantas.

"Sebagai bank yang memahami pertanian dengan lebih baik, Agrobank komited untuk terus memberikan penyelesaian pembiayaan komprehensif kepada komuniti pertanian merangkumi pembiayaan untuk aktiviti huluan seperti pembekalan input pengeluaran pertanian serta untuk aktiviti hiliran seperti memproses dan menjual produk pertanian pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataannya itu adalah sempena Hari Makanan Sedunia yang disambut hari ini.

Pada masa ini, Agrobank mempunyai dua program pembiayaan yang memfokuskan kepada peningkatan jaminan bekalan makanan di Malaysia dan juga membangunkan ketahanan terhadap keselamatan makanan jangka panjang negara ini.

Melalui Dana Agromakanan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), sebanyak RM350 juta diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan selain memacu daya maju pengusaha komoditi pertanian serta makanan.

Dana ini disediakan kepada semua pengusaha sektor pertanian dan makanan yang layak, termasuk di Sabah dan Sarawak, melalui Skim Pembiayaan Kredit Mikro Agrobank.

Melalui program ini, kemudahan pembiayaan mencecah RM50,000 boleh ditawarkan kepada setiap pengusaha sehingga lima tahun dengan kadar 3.5 peratus dan tidak memerlukan sebarang cagaran.

Selain itu, Agrobank juga menawarkan dana Agrofood Facility (AF) melalui Bank Negara Malaysia (BNM), dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Ia bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

meningkatkan pengeluaran makanan untuk pasaran dalam Malaysia dan untuk tujuan eksport.

Di bawah program pembiayaan ini, pemohon yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM150,000 bagi tempoh sehingga lapan tahun.

Berita Harian X