Jumaat, 9 Oktober 2020 | 6:25pm

Cadangan penggabungan lebih untungkan UEM Sunrise

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menggabungkan dua syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd dengan Eco World Development Group Bhd dilihat memberi kelebihan kepada UEM Sunrise.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng, berkata UEM Sunrise boleh memanfaatkan kepakaran Eco World dalam pemasaran dan penjenamaan kukuh yang dimiliki syarikat itu.

Katanya, kelebihan yang dimiliki Eco World dijangka dapat membantu UEM Sunrise mencipta nilai daripada pemilikan tanah besar yang dimiliki di Iskandar Malaysia, Johor.

"UEM Sunrise mempunyai tanah seluas 3,707.73 hektar di Iskandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM80.9 bilion.

"Satu daripada faedah cadangan penggabungan ini juga adalah akan mewujudkan kedudukan kewangan kukuh bagi pengembangan projek di dalam dan luar negara," katanya dalam nota penyelidikan, baru-baru ini.

UEM Group, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, yang juga syarikat induk kepada UEM Sunrise dalam kenyataannya mengumumkan sedang meneroka peluang proses penggabungan antara UEM Sunrise dengan Eco World sekali gus mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar negara.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, cadangan penggabungan itu akan memberi kelebihan kepada UEM Sunrise.

Katanya, ia memandangkan pemegang saham utama Eco World akan kehilangan hak majoriti, status penyenaraian dan mungkin jenama mereka.

Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, UEM Sunrise akan memperoleh keuntungan menerusi kekuatan Eco World dalam perancangan pemasaran dan perbandaran yang dapat membantu meningkatkan penjualan serta mengurangkan turun naik pendapatan hasil sumbangan projek luar negara UEM Sunrise.

Bagi pihak Eco World pula, alasan kukuh terhadap penggabungan itu adalah kerana pemegang saham utamanya bimbang dengan prospek sektor hartanah dan ekonomi masa hadapan, katanya.

"Oleh itu, Eco World boleh mendapat keuntungan daripada sokongan pemegang saham yang lebih kukuh iaitu Khazanah melalui UEM Group," katanya.

Berita Harian X