X
Selasa, 6 Oktober 2020 | 2:13pm
Syarikat sekutu AirAsia di India, AirAsia India Ltd - Foto Bloomberg
Syarikat sekutu AirAsia di India, AirAsia India Ltd - Foto Bloomberg

AirAsia henti biaya syarikat sekutu di India

NEW DELHI/LONDON: AirAsia Group Bhd berhenti membiayai syarikat sekutunya di India apabila kemerosotan perjalanan global menyebabkan syarikat itu berdepan masalah menyokong empayar penerbangan tambang murahnya, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Masa depan AirAsia India Ltd kini bergantung kepada pemegang saham majoritinya yang juga konglomerat India, Tata Group, yang telah menyediakan dana kecemasan namun belum menyatakan komitmen penyelamatan penuh, menurut individu itu, yang meminta tidak dikenali kerana perkara berkenaan adalah sulit.

AirAsia tidak berisiko 'gulung tikar' serta merta, kata individu itu.

Menteri Penerbangan India semasa hujung minggu lalu berkata, AirAsia akan menutup operasi di negara Asia Selatan itu, namun pejabatnya menjelaskan kenyataan itu diambil dalam luar konteks.

AirAsia India enggan mengulas, begitu juga wakil Tata Group.

AirAsia Group tidak memberikan jawapan kepada permintaan mendapatkan kenyataan selepas waktu pejabat.

Semalam, AirAsia mengumumkan bahawa unitnya di Jepun akan menghentikan operasi serta merta apabila COVID-19 terus menjejaskan industri penerbangan.

Pencetus industri perjalanan tambang rendah itu menyasar mendapatkan sehingga RM2.5 bilion untuk mengharungi krisis ini.

Unit penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd pula perlu mencapai persetujuan dengan penyedia pinjaman untuk menstruktur semula hutang di tengah-tengah 'kekangan kecairan mendalam' yang berisiko menghalangnya daripada meneruskan perkhidmatan.

AirAsia India meneruskan kelangsungan dengan dana 3.0 bilion rupee (RM170 juta) daripada Tata, yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu, dengan satu lagi pusingan pembiayaan dijangka tidak lama lagi, kata salah seorang individu berkenaan.

Tata sedang mempertimbangkan pilihan dan kos untuk membeli kepentingan dimiliki AirAsia bagi menyelamatkan syarikat penerbangan berkenaan, kata seorang lagi individu.

-Bloomberg

Berita Harian X