Jumaat, 2 Oktober 2020 | 8:59pm

CEO Malakoff lepas jawatan

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali akan melepaskan jawatannya dalam syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia itu berkuatkuasa 31 Oktober ini.

Malakoff dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, langkah yang diambil Ahmad Fuaad yang menerajui kumpulan sejak 1 Oktober 2017 adalah bagi mengembangkan lagi kerjayanya di luar.

Sebelum berkhidmat dengan Malakoff, beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PHB) dari 1 April 2016 dan ahli lembaga kumpulan PHB sehingga 30 September 2017.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi - Kewangan & Korporat serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO) DRB-HICOM Bhd dari Ogos 2013 hingga Mac 2016.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Arthur Andersen & Co pada 1994.

Semasa berkhidmat di Malakoff, Ahmad Fuaad juga adalah ahli lembaga pengarah di kebanyakan anak syarikat dan syarikat bersekutu Malakoff di dalam dan luar negara.

Berita Harian X