Khamis, 24 September 2020 | 5:52pm
MR DIY
MR DIY

MR DIY meterai perjanjian taja jamin dengan enam bank

KUALA LUMPUR: MR DIY Group (M) Bhd, yang akan disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, memeterai perjanjian taja jamin dengan enam bank sebagai Penaja Jamin Pengurusan Bersama dan Penaja Jamin Bersamanya.

Katanya CIMB Investment Bank (CIMB IB), Maybank Investment Bank (Maybank IB), RHB Investment Bank (RHB IB) akan menjadi Penaja Jamin Pengurusan Bersama dan Penaja Jamin Bersama manakala Amnvestment Bank (AmInvestment), Hong Leong Investment Bank (Hong Leong IB) dan Kenanga Investment Bank (Kenanga IB) sebagai Penaja Jamin Bersama untuk tawaran awam permulaannya (IPO).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong, berkata langkah ini adalah satu pencapaian untuk syarikat, menjadikannya hampir sebagai syarikat senaraian awam.

"Walaupun pasaran terjejas oleh pandemik COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan ini, kami telah bertahan sebagai sebuah kumpulan dan gembira mempunyai peluang ini untuk memulakan fasa pertumbuhan kami yang akan datang.

"Memanfaatkan pasaran modal akan membantu kami mempercepatkan pelan pertumbuhan kami, berikutan kami terus meningkatkan rangkaian kedai kami untuk memanfaatkan sektor runcit pembaikan rumah dengan kadar penembusan yang belum mencukupi di Malaysia. Ini akan mengukuhkan kedudukan MR DIY sebagai peruncit pembaikan rumah terbesar di Malaysia," katanya.

Penawaran IPO MR DIY terdiri daripada 974.49 juta saham biasa baharu dan sedia ada.

Ini termasuk penawaran institusi sebanyak 779.96 juta, terdiri daripada 470.75 juta saham IPO kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta 309.21 juta saham kepada pelabur institusi dan terpilih Malaysia, pelabur institusi asing dan terpilih di luar AS dan pembeli institusi yang layak di AS, katanya.

Syarikat itu berkata ia turut memperuntukkan 161.53 juta saham IPO kepada peruncitan, terdiri daripada 36 juta saham kepada pengarah, pekerja dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan MR DIY, serta 125.53 juta lagi kepada rakyat Malaysia.

Kumpulan itu berkata sejak penubuhan kedai pertamanya pada 2005, MR DIY telah berkembang menjadi peruncit pembaikan rumah yang terbesar di Malaysia dengan anggaran bahagian pasaran sebanyak 29.1 peratus pada 2019 berdasarkan pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Sehingga 6 September, katanya kumpulan mempunyai 640 kedai yang beroperasi di seluruh Malaysia dan empat kedai di Brunei di bawah jenama "MR DIY", dengan 28 kedai lagi di Semenanjung Malaysia di bawah jenama "MR TOY".

Katanya moto MR DIY "Always Low Prices" mewakili rangkaian produknya yang berkualiti dan komprehensif pada harga yang kompetitif, dengan kira-kira 16,600 unit simpanan stok (SKU) setiap kedai, sehingga 30 Jun 2020.

– Bernama

Berita Harian X