Jumaat, 11 September 2020 | 7:21pm
RHB Bank Bhd - Foto fail NSTP
RHB Bank Bhd - Foto fail NSTP

RHB Bank cadang terbit sukuk RM10 bilion

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd bercadang untuk menerbitkan program (sukuk) nota jangka sederhana Islam pelbagai mata wang sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal berdasarkan Murabahah melalui pengurusan Tawarruq.

Program sukuk itu akan membenarkan bank berkenaan menerbitkan Sukuk Murabahah Senior dalam pelbagai mata wang termasuk ringgit, dari masa ke semasa, berdasarkan jumlah nominal tertunggak tidak melebihi RM10 bilion pada bila-bila masa, tertakluk kepada opsyen bagi menambah had program berkenaan.

RHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil yang dikumpulkan daripada program ini akan digunakan kumpulan untuk modal kerja dan tujuan perbankan am membabitkan aktiviti perniagaan Islam dan pembiayaan semula/penebusan kemudahan pembiayaan Islam bagi tujuan perniagaan Islam.

Katanya lagi, RHB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama/pengatur/pengurus utama bagi program itu, manakala RHB Islamic Bank Bhd mengambil peranan sebagai Penasihat Syariah.

-BERNAMA

Berita Harian X