Isnin, 6 Julai 2020 | 3:18pm
Ourshop melancarkan kategori baharu, Ourfresh yang menawarkan produk segar dan beku terus dari sumber
Ourshop melancarkan kategori baharu, Ourfresh yang menawarkan produk segar dan beku terus dari sumber

Unit logistik AirAsia bantu petani jual produk

KUALA LUMPUR: Unit logistik AirAsia, Teleport, bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu petani tempatan menjual produk segar dan beku secara terus dari sumber.

Kerjasama itu dijalankan menerusi platform e-dagang Teleport, Ourshop.

Ourshop melancarkan kategori baharu, Ourfresh yang menawarkan produk segar dan beku terus dari sumber, dengan jaminan penghantaran hari berikutnya bagi pelanggan di Lembah Klang.

Ia dilantik sebagai peniaga di platform pasaran FAMA, Agrobazaar Malaysia, dalam usaha untuk menyediakan platform e-dagang dan sokongan pemasaran kepada petani serta usahawan industri asas tani di bawah FAMA.

Ourshop akan menampilkan produk daripada 200 petani membabitkan pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan ikan.

Ketua Pemasaran Ourshop, Grace Chin, berkata syarikat melihat pertumbuhan produk segar dan beku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lantaran membuat keputusan memperkenalkan Ourfresh sebagai satu kategori di bawah platform e-dagang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Abdul Ghariff Ramin, berkata kerjasama itu akan menyediakan platform e-dagang bermanfaat yang boleh membantu perniagaan asas tani berkembang dan mendapatkan capaian lebih meluas, sambil memberikan nilai lebih baik kepada wang pelanggan.

-BERNAMA

Berita Harian X