Jumaat, 26 Jun 2020 | 5:50pm

Maybank tidak bercadang lanjut tempoh moratorium pinjaman

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank), bank terbesar Malaysia dari segi aset, tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman yang akan berakhir September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias, berkata tempoh penangguhan bayaran balik selama enam bulan sudah mencukupi untuk membolehkan Maybank tampil dengan pelan penstrukturan semula dalam menangani kesan COVID-19.

"Secara dasarnya, idea pelaksanaan moratorium adalah untuk memberikan bank dan pelanggan masa untuk berdepan impak COVID-19 di mana kita tidak pernah hadapi sebelum ini.

"Dalam tempoh enam bulan (penangguhan), kita memerlukan masa untuk berbincang dengan pelanggan mengenai rancangan memperkemaskan semula kemudahan pinjaman mereka sebelum keluar dari tempoh moratorium dengan kedudukan yang stabil," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Ke-60 Maybank secara maya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Abdul Farid berkata, syarikat perbankan itu menjangkakan kesan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan nilai sekitar RM1 bilion hanya akan dapat dilihat pada suku kedua tahun ini.

Katanya, meskipun moratorium yang diberikan kepada semua pelanggan runcitnya tidak menjejaskan keuntungan kumpulan perbankan terbesar Malaysia itu, namun ia dijangka memberi kesan kepada aliran tunainya.

"Ia mengubah corak aliran tunai Maybank pada masa depan terutama dalam portfolio sewa beli. Senario sebenar yang akan dilihat pada Oktober ini," katanya.

Mengenai jangkaan pemotongan kadar faedah, beliau menjelaskan, Maybank tidak menjangkakan satu lagi pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini.

"Bagi kadar pengurangan OPR, kami berpandangan perubahan hanya akan berlaku kecuali kita melihat perkara yang kurang memberangsangkan di beberapa bahagian di dunia yang menjejaskan permintaan luaran Malaysia," katanya.

Bulan lalu, BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan sebanyak 0.50 peratus kepada 2.00 peratus.

Mengenai Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Abdul Farid berkata, Maybank sudah meluluskan pinjaman berjumlah RM2.1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kadar kelulusan 77 peratus atau 3,939 daripada keseluruhan permohonan yang diterima.

"Setakat ini, Maybank sudah meluluskan pinjaman/pembiayaan berjumlah RM4.9 bilion kepada PKS termasuk SRF membabitkan jumlah 7,388 permohonan," katanya.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu, Maybank merekodkan keuntungan bersih RM2.05 bilion, melonjak 13.3 peratus berbanding RM1.81 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu dicapai di tengah-tengah perkembangan ekonomi yang lemah dengan untung bersih positif diraih disokong pendapatan operasi bersih lebih tinggi kepada RM6.72 bilion yang dicatatkan pada suku dikaji, 14.7 peratus lebih tinggi berbanding RM5.86 bilion pada tiga bulan pertama 2019.

Berita Harian X