Selasa, 12 Mei 2020 | 8:44pm
Syahrunizam Samsudin
Syahrunizam Samsudin

UEM Edgenta lantik Pengarah Urusan baharu

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd melantik Syahrunizam Samsudin sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, Syahrunizam akan mengambil alih jawatan daripada Datuk Azmir Merican, yang meninggalkan UEM Edgenta pada April 2020.

Syahrunizam sebelum itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Touch'n Go Sdn Bhd (TNG), menurut UEM Edgenta.

Ia berkata, sejak lima tahun lalu, beliau berperanan penting dalam transformasi TNG menjadi antara peneraju mobiliti dan pembayaran secara digital untuk negara, dengan lebih 13 juta pengguna di seluruh platform yang pelbagai.

UEM Edgenta, berkata Syahrunizam turut memiliki pengalaman industri dan operasi dalam pembuatan dan pemasangan, kejuruteraan serta minyak dan gas semasa memegang jawatan presiden dan ketua pegawai operasi (COO) Scomi Engineering.

Syahrunizam, bekas pemegang biasiswa PETRONAS, memulakan kerjayanya di Bahagian Perancangan dan Pembangunan Korporat PETRONAS dan kemudian menjadi pemegang saham pengasas dan COO syarikat penyumberan luar teknologi maklumat pertama PETRONAS.

"Beliau seorang yang begitu meminati teknologi baharu yang memanfaatkan kuasa pendigitalan untuk melonjakkan trajektori pertumbuhan syarikat, kecekapan proses dan daya saing kos bagi meningkatkan kemampanan dan nilai pemegang saham," kata UEM Edgenta.

-BERNAMA

Berita Harian X