Khamis, 12 March 2020 | 5:32pm
MALINDO Air
MALINDO Air

Malindo pindah sebahagian pesawat ke Batik Air

KUALA LUMPUR: Malindo Air memindahkan separuh angkatan pesawatnya kepada syarikat sekutu, Batik Air bermula bulan ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan disebabkan penularan COVID-19.

Syarikat penerbangan itu akan memindahkan 15 pesawat Boeing 737 selain mengurangkan 50 peratus kapasiti penerbangannya, menurut laporan dari firma data industri pelancongan dan analisis, Cirium.

Malindo Air dan Batik Air adalah anak syarikat kepada Lion Air Group yang berpangkalan di Indonesia.

Namun, tidak dapat dipastikan pemindahan pesawat itu membabitkan hanya model 737-800 atau kombinasi dengan model 737-900ER.

Malindo Air dalam maklum balasnya kepada Cirium hanya menjelaskan bahawa pemindahan pesawat bermula bulan ini selain penggantungan penerbangan ke China.

Angkatan pesawat Malindo Air yang dalam perkhidmatan ketika ini membabitkan 24 pesawat Boeing 737-800 dan enam pesawat Boeing 737-900ER selain 12 pesawat ATR 72-600, manakala satu dalam simpanan.

Pemindahan itu akan menambah angkatan pesawat Batik Air kepada 73 pesawat berbanding 58 pesawat ketika ini.

Angkatan pesawat Batik Air terdiri daripada 44 Airbus A320ceo, masing-masing satu A320neo dan A330-300, selain 12 Boeing 737-800 dan 737-900ER.

Malindo Air sebelum ini mengarahkan kakitangannya untuk mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan COVID-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan serta industri lebih meluas.

Dalam memo dalaman yang dihantar itu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata Malindo Air telah melaksanakan beberapa langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.

Berita Harian X