X
Rabu, 26 Februari 2020 | 3:12pm

Public Bank raih untung RM7.13 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank Bhd, bank ketiga terbesar negara dari segi aset, mencatat keuntungan sebelum cukai RM7.13 bilion pada tahun kewangan 2019.

Ia didorong pertumbuhan 1.9 peratus dalam pendapatan operasi kepada RM22.45 bilion, justeru menghasilkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi iaitu RM7.13 bilion berbanding dengan RM7.1 bilion pada tahun sebelumnya. Keuntungan bersihnya dicatatkan pada RM5.51 bilion.

Berdasarkan suku tahunan, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih masing-masing meningkat sebanyak 3.4 peratus dan 3.2 peratus berbanding dengan suku tahun ketiga tahun yang sama.

Mengulas perkembangan itu, Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata tahun 2019 adalah tahun yang amat mencabar bagi kumpulan itu.

“Pertumbuhan ekonomi di negara membangun dan baharu muncul terus menyederhana. Pengurangan kadar dasar semalaman pada Mei 2019 memberi tekanan ke atas margin faedah bersih yang menjejaskan keuntungan sektor perbankan domestik bagi tahun berkenaan.

“Bagaimanapun, kumpulan Public Bank masih dapat mengekalkan keuntungan yang stabil pada tahun 2019 melalui pertumbuhan melebihi industri dalam perniagaan pembiayaan dan pengambilan deposit, pertumbuhan yang baik sebanyak 8.4 peratus dalam pendapatan bukan faedah dan aset kualiti yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Di bawah persekitaran operasi semasa yang mencabar, katanya, Public Bank berpendapat bahawa pengekalan kualiti aset yang kukuh dan pengurusan kos berhemat adalah penting bagi kemampanan perolehan dalam tempoh jangka panjang.

Justeru, kumpulan memegang teguh prinsip utama pengurusan kredit berhemat dan terus memberi penekanan pada kecekapan produktiviti dan operasi.

Berikutan itu, kumpulan itu, katanya, terus mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar terendah sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang paling cekap sebanyak 34.4 peratus, berbanding pesaing domestiknya.

Bagi tahun kewangan 2019, Public Bank mengumumkan dividen interim kedua yang lebih tinggi iaitu 40 sen sesaham.

Berserta dividen interim pertama sebanyak 33 sen sesaham, dividen setahun penuh untuk tahun 2019 adalah berjumlah 73 sen sesaham berbanding dengan 69 sen pada tahun sebelumnya.

Berita Harian X