Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:56pm
Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).
Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).

EXIM Bank bantu pelanggan terjejas COVID-19

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) bersedia membantu pelanggannya yang mengalami perniagaan terjejas susulan penularan jangkitan COVID-19 menerusi cara meringankan obligasi kewangan mereka dengan bank ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nazri Abdul Rahim, dalam kenyataan berkata, bank itu terbuka untuk perbincangan dan semua pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pengurus perhubungan mereka bagi mendapatkan bantuan berdasarkan kes demi kes.

“Sebagai pembiaya perdagangan pilihan perniagaan global, EXIM Bank akan membantu pelanggan yang terjejas mengharungi tempoh sukar ini untuk mengenepikan kebimbangan dialami mereka kerana pelanggan kami perlu terus mengawasi dan membangunkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, penularan COVID-19 amat mengekang aktiviti perdagangan eksport dan import yang kesannya ke atas pelanggan EXIM Bank tidak dapat dielakkan.

“EXIM Bank mempunyai pelanggan daripada pelbagai sektor dan industri, menawarkan pembiayaan perdagangan, insurans kredit dan khidmat nasihat kepada banyak perniagaan rentas sempadan di negara ini,” katanya.

Nazri berkata, sebagai ekonomi kedua terbesar dunia dan antara rakan dagang terbesar Malaysia, China adalah elemen utama dalam rantaian nilai global dan penularan wabak di satu daripada bandar utamanya menjejaskan aktiviti ekonomi, perdagangan dan pengilangan seluruh dunia.

“Implikasi meluas berikutan jangkitan COVID-19 sedang ditangani dengan pantas dan banyak pengeksport dan pengimport menghadapi gangguan dalam perniagaan mereka, kapal terperangkap di pelaburan, pekerja dikuarantinkan serta sekatan perjalanan, semua ini menimbulkan cabaran kewangan kepada perniagaan, sebilangannya ialah pelanggan kami,” katanya.

– Bernama

Berita Harian X