Selasa, 11 Februari 2020 | 5:57pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (tengah) melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (tengah) melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. - Foto BERNAMA

Jemaah haji boleh guna kad debit-i Bank Islam

PUTRAJAYA: Jemaah haji kini boleh melakukan transaksi kewangan dengan mudah menggunakan kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang diperkenalkan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) hasil usaha sama dengan rakan strategik, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Visa.

Tiada caj akan dikenakan kepada pengguna bagi pengeluaran tunai di Arab Saudi pada musim haji.

Kad itu turut dilengkapi pelbagai keistimewaan lain dan ganjaran eksklusif untuk pemegangnya selain menawarkan rangkaian pembayaran serta akses tunai yang meluas di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, perkongsian itu sejajar dengan strategi pihaknya untuk menjalin hubungan jangka panjang bersama rakan niaga terkemuka bagi menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai dan nilai tambah kepada pelanggan.

“Berbeza dengan kad debit dikeluarkan sebelum ini, Kad Debit-i Bank Islam Visa adalah kad biorosot (biodegradable) pertama diperbuat daripada material polietilena tereftalat (PET) berkualiti tinggi yang boleh dikitar semula. Ia menjadikannya kad mesra alam pertama yang sejajar dengan hasrat kelestarian kami.

“Kad ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi niaga dan mendapatkan akses tunai di lebih 2.5 juta termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia termasuk Arab Saudi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Eksekutif Deposit Bank Islam Shahirah Abdullah menunjukkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang baharu dilancarkan hari ini. - Foto BERNAMA
Eksekutif Deposit Bank Islam Shahirah Abdullah menunjukkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang baharu dilancarkan hari ini. - Foto BERNAMA

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff; Pengurus Negara Kumpulan Rantau Asia Tenggara Visa, Mandy Lamb dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Mohd Muazzam berkata, untuk mengaktifkannya, pelanggan perlu membuka akaun Bank Islam seterusnya memohon kad debit dengan caj RM13 untuk pemprosesan.

Katanya, pendeposit TH boleh mengakses akaun masing-masing dengan menghubungkannya bersama kad debit dan hanya perlu memindahkan dana diperlukan daripada akaun simpanan mereka ke Bank Islam.

“Kami mengunjurkan untuk mencapai 100,000 pemegang kad dalam tempoh setahun.

“Sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia, kami sentiasa berhasrat menyediakan penyelesaian kewangan patuh syariah demi memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan selain memastikan kelestarian alam terus terpelihara.

“Bank Islam juga komited menjayakan usaha membentuk masyarakat tanpa tunai dan kami berharap usaha ini dapat menyumbang ke arah itu,” katanya.

Berita Harian X