Selasa, 4 Februari 2020 | 5:49pm
KETUA Pegawai Eksekutif PMB Investment Bhd, Najmi Mohamed (tiga dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN), Mujibburrahman Abd Rashid (tiga dari kiri) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias.
KETUA Pegawai Eksekutif PMB Investment Bhd, Najmi Mohamed (tiga dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN), Mujibburrahman Abd Rashid (tiga dari kiri) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias.

PMB Investment susun semula portfolio pelaburan

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan Mara) menyusun semula portfolio pelaburannya bagi berhadapan pasaran yang terjejas disebabkan penularan coronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmi Mohamed berkata, sebagai syrikat pengurus dana, ia memerlukan pihaknya sentiasa bersedia dan menyusun portfolio pelaburan dari semasa ke semasa.

“Kami sentiasa bersedia berhadapan dengan situasi pasaran seperti coronavirus dan memilih pelaburan dalam sektor selamat seperti penjagaan kesihatan dan sarung tangan.

“Penyebaran coronavirus memang menjejaskan pasaran ekuiti tempatan dan global tetapi PMB Investment mempunyai kepakaran dan sudah berhadapan dengan pelbagai cabaran global.

“Kami juga menjangkakan pasaran terjejas tetapi pada tahap yang terkawal dan bersifat jangka pendek. Seperti apa yang berlaku ketika virus SARS pada 2003, pasaran tempatan susut kira-kira lapan peratus.

“Namun, pasaran saham tempatan menunjukkan peningkatan melebihi 20 peratus pada akhir 2003. Ia menunjukkan tekanan dan penurunan itu bersifat jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Najmi mewakili PMB Investment manakala BSN diwakili Ketua Pegawai Perniagaannya, Mujibburrahman Abd Rashid.

Ia disaksikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Bhd, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani.

PMB Investment melantik BSN sebagai Perunding Unit Amanah Institusi (IUTA) ketujuhnya bagi mempromosi dan mengedar dua daripada 15 produk PMB Investment melalui cawangan BSN di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, pada peringkat awal, BSN akan mengedar, mempromosi dan memasarkan dua dana Unit Amanah di bawah PMB Investment iaitu PMB Shariah Premier Fund (Dana Ekuiti) dan PMB Shariah Cash Management Fund (Dana Pasaran Wang).

Beliau berkata, kerjasama ini dijangka mampu melebarkan saluran pengedaran memandangkan PMB Investment adalah syarikat pengurusan unit amanah yang tidak dimiliki oleh mana-mana institusi kewangan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani pula berkata, BSN komited menyediakan produk Unit Amanah termasuk pelbagai produk kewangan syariah di bawah payung Wealth Management kepada pelanggannya.

Kerjasama itu, katanya memberikan tawaran produk yang lebih luas kepada pelanggan BSN, sekali gus memenuhi keperluan pelaburan BSN dalam pasaran kewangan yang semakin berkembang.

Berita Harian X