Jumaat, 31 Januari 2020 | 4:57pm

Public Mutual umum agihan lima dana

KUALA LUMPUR: Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank mengumumkan pengagihan berjumlah lebih RM64 juta untuk lima dana.

Ia mengumumkan agihan 5.00 sen seunit bagi Public Money Market Fund, 4.25 sen seunit bagi Public Enhanced Bond Fund, 1.50 sen seunit bagi Public Index Fund, 0.50 sen seunit bagi Public Islamic Optimal Growth Fund dan 0.40 sen seunit bagi PB Dividend Builder Equity Fund.

Public Index Fund dan Public Enhanced Bond Fund adalah dana yang terbuka kepada Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Semua Dana Siri Public diedarkan oleh perunding unit amanah (PEUA) Public Mutual manakala Dana Siri PB diedarkan melalui cawangan Public Bank di seluruh negara.

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia, menguruskan lebih daripada 140 dana unit amanah.

Ia juga penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim itu.

Berita Harian X