Isnin, 27 Januari 2020 | 12:00pm
Syed Yasir Arafat (kiri) bersama Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan, Ali Hassan Mohd Hassan dan Pillutla pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Supian Ahmad
Syed Yasir Arafat (kiri) bersama Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan, Ali Hassan Mohd Hassan dan Pillutla pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Supian Ahmad

Pelaburan Ekuinas dalam Al-Ikhsan raih pulangan

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), yang memiliki kepentingan dalam Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan), memberikan tumpuan kepada usaha menstabilkan operasi peruncit sukan utama tempatan itu, selepas berjaya meraih pulangan modal daripada pelaburannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata Al-Ikhsan ketika ini mempunyai 30 jenama, 1,200 pekerja dan menguasai 30 peratus pasaran tempatan dalam segmen peruncit pelbagai peringkat.

“Sejak bekerjasama dengan Al-Ikhsan, Ekuinas berjaya meraih pulangan modal daripada pelaburan yang dibuat, memandangkan syarikat ini mempunyai kecairan yang kukuh dan aliran tunai mencukupi serta pengurusan inventori yang baik.

“Disebabkan itu, kami tidak memerlukan suntikan dana luaran bagi proses pengembangan selanjutnya,” katanya dalam sesi temu bual bersama media di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sesi itu turut disertai Ali Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla.

Ekuinas membeli 35 peratus pegangan dalam Al-Ikhsan pada Julai 2016 membabitkan nilai RM68.6 juta.

Diasaskan oleh Ali Hassan Mohd Hassan ketika masih belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor pada 1993, peruncit sukan ke-64 terbesar di dunia itu menjana jualan RM330 juta tahun lalu.

Syed Yasir berkata, tumpuan banyak diberikan kepada usaha menambah baik sokongan operasi belakang tabir Al-Ikhsan, bagi mengembangkan perniagaannya.

“Ekuinas perlu memastikan yang syarikat ini (Al-Ikhsan) mempunyai operasi belakang tabir yang kukuh sebelum fokus diberikan kepada pertumbuhan.

“Kami menumpukan kepada perancangan sumber yang berkesan seperti sistem perisian inventori, melaksanakan pelan perniagaan strategik dan mengambil pekerja yang tepat serta mengukuhkan jenama sedia ada yang dimiliki syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pillutla berkata, Al-Ikhsan menyasarkan pertumbuhan jualan antara 15 peratus hingga 18 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, sasaran pertumbuhan itu antaranya akan dipacu oleh pembukaan sehingga 35 kedai baharu dalam tempoh tiga tahun ini di Semenanjung, selain kemungkinan membuat kemunculan sulung di Sabah dan Sarawak.

Al-Ikhsan mempunyai 130 cawangan kedai di seluruh Semenanjung, termasuk dua cawangan kedai mega masing-masing di Bandar Baru Bangi, Selangor dan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

Selain itu katanya, Al-Ikhsan juga merancang untuk memperkenalkan konsep baharu mengikut segmen yang menyediakan pilihan pelanggan daripada peringkat rendah ke pertengahan dalam pasaran itu.

“Komitmen kami adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia kekal aktif dan cergas dengan menjadikan barangan sukan sebagai mampu dimiliki oleh semua orang.

“Disebabkan itu, adalah penting untuk memahami pelanggan kami dengan baik dan perlu sentiasa bersedia untuk berubah berdasarkan kemahuan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut Pillutla berkata, Al-Ikhsan bakal melancarkan platform e-niaga dalam talian terbarunya pada akhir bulan depan yang dijangka menyumbang sekitar lima peratus daripada jualan keseluruhan syarikat dalam tempoh tiga tahun ini.

“Platform ini adalah dalam bentuk laman web dan bukan aplikasi mudah alih. Berdasarkan kajian yang dibuat, pembeli lebih suka untuk membeli barang di laman web berbanding di aplikasi,” katanya.

Sementara itu, Ali Hassan percaya perniagaan runcit sukan sedang berkembang dan mempunyai peluang yang amat besar di dalam negara.

Malah, beliau berkata, Al-Ikhsan juga merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya dengan terbaru sudah membuka dua jenis konsep kedai sukan yang berbeza dengan cawangan lain.

“Satu ialah Football Republic yang menumpukan kepada jualan barangan berkaitan bola sepak manakala lagi satu ialah Sneakers Street yang fokus terhadap produk kasut sniker.

“Ketika ini Football Republic mempunyai dua cawangan dan Sneaker Street yang dibuka tahun lalu mempunyai satu cawangan.

“Kami merancang untuk membuka antara empat hingga enam cawangan Football Republic dan 12 hingga 15 cawangan Sneaker Street dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Berita Harian X