Selasa, 31 Disember 2019 | 12:59pm

Huawei beri keutamaan untuk terus bertahan

BEIJING: Gergasi telekomunikasi China, Huawei berkata pihaknya akan memberikan keutamaan untuk terus bertahan selepas mengumumkan jualan 2019 yang dijangka lebih rendah daripada unjuran berikutan sekatan dari Amerika Syarikat (AS).

Peneraju global dalam perkakasan rangkaian telekomunikasi itu telah dihalang oleh AS daripada bekerja dengan firma AS berikutan ia didakwa mendatangkan ancaman keselamatan nasional, satu tuduhan yang telah dinafikan syarikat China itu dengan konsisten.

Pengerusinya, Eric Xu berkata pendapatan jualan Huawei pada 2019 dijangka mencecah 850 bilion yuan (AS$121 bilion), meningkat kira-kira 18 peratus daripada tahun sebelumnya.

Walaupun beliau berkata “perniagaan kekal kukuh”, angka berkenaan adalah lebih rendah daripada unjuran sebelum ini iaitu AS$125 bilion.

Dalam mesej Tahun Baru kepada pekerjanya, Xu berkata kerajaan AS sedang dalam kempen ‘strategik dan jangka panjang” terhadap syarikat berkenaan yang akan mencetuskan ‘persekitaran yang mencabar untuk Huawei terus berjuang’.

“Keutamaan adalah untuk terus bertahan dalam tahun 2020,” menurut Xu yang juga presiden semasa di bawah skim pimpinan penggiliran syarikat berkenaan.

Beliau berkata, Huawei perlu berusaha keras untuk membina semula ekosistem perkhidmatan mudah alihnya, jawapannya kepada aplikasi dan perkhidmatan Google, bagi memastikan pihaknya dapat terus menjual telefon pintar berkenaan dalam pasaran luar negara.

Peniagaan telefon pintar Huawei menunjukkan potensi yang baik dengan mencatatkan 240 juta unit penghantaran pada 2019. Walaupun pakar telekomunikasi menganggap Huawei sebagai peneraju global dalam perkakasan 5G terutamanya dalam aspek teknologi dan harga, namun syarikat berkenaan berhadapan dengan cabaran dari AS dan negara asing lain yang bimbang akan hubungan baiknya dengan kerajaan China.

Ketua Risikan AS mengatakan bahawa Huawei tidak boleh dipercayai dan perkakasannya adalah ancaman kepada keselamatan nasional.

Ditubuhkan pada 1987 oleh jurutera People's Liberation Army, Ren Zhengfei, Huawei terjebak dengan kontroversi apabila anak perempuan Ren yang juga Eksekutif Kanan Huawei, Meng Wanzhou, ditahan di Kanada di atas permintaan AS.

Washington mahu membicarakan beliau atas dakwaan penipuan terhadap bank dan ekstradisinya dijangka bermula 20 Januari ini. - AFP

Berita Harian X