Selasa, 5 November 2019 | 8:07pm

Untung bersih Sunway REIT naik kepada RM78.82j

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust’s (Sunway REIT) bagi suku pertama (Q1) tahun kewangan 2020 (FY2020) berakhir 30 September 2019 meningkat kepada RM78.82 juta daripada RM73.00 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway REIT berkata hasil meningkat kepada RM155.35 juta daripada RM143.74 juta sebelumnya, terutamanya dipacu peningkatan prestasi dalam semua segmennya.

Pendapatan hartanah bersihnya (NPI) berkembang 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM119.1 juta.

“Bagi suku berakhir 30 September 2019, Sunway REIT mencadangkan pengagihan setiap unit (DPU) sebanyak 2.50 sen, tinggi sedikit daripada DPU sebanyak 2.48 sen diisytiharkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan harga unit sebanyak RM1.92 setakat 30 Sept, 2019, ini diterjemahkan kepada hasil pengagihan tahunan sebanyak 5.2 peratus,” kata Sunway REIT dalam kenyataan berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng, berkata dalam tempoh lebih 10 tahun, Sunway REIT mengekalkan rekod baik tanpa sebarang gangguan dalam mencatatkan pertumbuhan DPU positif, disokong kualiti aset kukuh, pengurusan modal proaktif, pengambilalihan aktif dan strategi inisiatif peningkatan aset (AEIs).

“Kami gembira untuk menyatakan bahawa strategi mempelbagaikan portfolio kami, pengambilalihan aktif dan strategi AEIs terus menjadi pemacu aliran pendapatan baharu ditengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar,” katanya.

Berhubung prospek bagi FY2020, beliau berkata Sunway REIT menjangkakan untuk mengekalkan pengagihan setiap unit yang berdaya tahan pada FY2020, disokong oleh pertumbuhan sederhana dalam segmen runcit dan sumbangan pendapatan tahun penuh daripada kampus universiti dan kolej Sunway yang baru diambil alih.

-- BERNAMA

Berita Harian X