Jumaat, 27 September 2019 | 5:30pm

Genting komited laksana Dasar Pembakaran Sifar

KUALA LUMPUR: Genting Group berkata, konglomerat itu komited kepada pelaksanaan Dasar Pembakaran Sifar dalam pembangunan ladang sawitnya.

Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, Genting Plantations Bhd, telah menjadi anggota Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) sejak 2006 dan melaksanakan kriteria yang lestari dalam semua operasinya, termasuk melaksanakan dasar berkenaan.

Genting berkata demikian dalam kenyataan sebagai respons kepada artikel Greenpeace mengenai krisis kebakaran hutan di Indonesia, dan ia menyenaraikan cabang perladangan konglomerat itu antara 10 kumpulan utama dengan kawasan terbakar terbesar di Indonesia antara 2015 dan 2018.

“Kami tidak dapat memberi kenyataan mengenai ketepatan data Greenpeace, tetapi berdasarkan peta Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, kawasan terbakar kebanyakannya di luar konsesi anak syarikat kami di Indonesia, PT Globalindo Agung Lestari.

“Selain itu, peta Greenpeace juga mungkin termasuk kawasan dengan titik panas yang tidak dimiliki oleh PT Globalindo Agung Lestari,” menurut Genting Group.

Kumpulan itu, bagaimanapun berkata berdasarkan data dalaman 2016-2018, tanah PT Globalindo Agung Lestari seluas 6.8 hektar telah mengalami pembakaran dalam tempoh itu.

“Kami turut menyatakan kira-kira 203 hektar tanah milik komuniti mengalami pembakaran. Tanah ini ditanam dengan tanaman lain dan bukan kelapa sawit,” katanya.

Ia berkata, Genting Plantations telah mewujudkan sistem pemantauan titik panas satelit dan dron untuk membantu pengawasan oleh pasukan peronda kebakaran dalaman.

Jika berlaku kebakaran, pasukan peronda kebakaran akan segera melaporkannya kepada pihak polis tempatan dan Disbun Perkebunan, agensi perladangan tempatan, bersama dengan bukti bergambar dan butir-butir tindakan yang diambil dalam masa 24 jam.

“Pasukan bomba juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan masyarakat tempatan untuk memadamkan api dalam masa yang singkat.

“Selain itu, kami akan turut melaporkannya kepada RSPO melalui Pemantauan Titik Panas Kebakaran Dalaman,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X