Khamis, 12 September 2019 | 9:44pm
KETUA Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. - Foto Hairul Anuar Rahim

Malakoff, J-POWER kerjasama bangunkan janaan kuasa dan projek air

KUALA LUMPUR: Malakoff Corp Bhd dan Electric Power Development Co Ltd (J-POWER) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan potensi projek janaan kuasa yang belum dimajukan dan yang sudah dimajukan serta projek air di peringkat global termasuk Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu berkata kerjasama strategik itu akan menyaksikan kedua-dua pihak secara bersama menilai potensi projek pembangunan kuasa dan air.

Ketua Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata kerjasama berkenaan akan mempersembahkan peluang sinergi kepada kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing.

“Ini akan memacu keberkesanan dan kecekapan operasi lapangan kuasanya di samping bekerjasama untuk projek masa depan,” katanya.

MoU itu juga akan memanfaatkan kepakaran teknikal dan operasi J-POWER termasuklah dalam pasaran haba, hidro dan kuasa boleh diperbaharui.

Malakoff juga akan berkongsi kepakarannya dalam projek penyahgaraman air dan kuasa serta rangka kerjasama lain termasuklah perkongsian pengetahuan dan perkhidmatan teknikal.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ahmad Fuaad dan Pengarah dan Ketua Bahagian Perniagaan Kuasa Global J-POWER, Dr Yoshiki Onoi.

J-POWER adalah satu daripada syarikat kuasa terbesar di Jepun dengan kapasiti pemasangan dianggarkan sebanyak 24.6 GW di seluruh dunia termasuklah 61 lapangan kuasa hidroelektrik dan 22 ladang angin di seluruh Jepun.

Ia juga mengendalikan transmisi talian utama dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,400 km serta mempunyai pengalaman luas dalam 357 projek di 64 negara dalam tempoh lebih 50 tahun.

Berita Harian X