Khamis, 5 September 2019 | 5:57pm
Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin pada Pameran Hari Korporat 'MIDs GEMS' anjuran Bursa Malaysia. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman.
Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin pada Pameran Hari Korporat 'MIDs GEMS' anjuran Bursa Malaysia. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman.

DNeX raih RM100 juta setahun lanjutan konsesi NSW

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dijangka meraih kira-kira RM100 juta setahun menerusi ekosistem ‘National Single Window’ (NSW) Jabatan Kastam bagi lanjutan konsesi Fasilitasi Perdagangan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin, berkata manfaat itu diterima selepas Jabatan Kastam bersetuju untuk melanjutkan konsesi berkenaan dengan DNeX selama dua tahun.

“Kami menjangka memperoleh pulangan antara RM90 juta hingga RM100 juta setahun,” katanya ketika ditemui selepas Pameran Hari Korporat 'MIDs GEMS' anjuran Bursa Malaysia di sini, hari ini.

DNeX menerusi anak syarikatnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) menjadi pengendali NSW untuk Fasilitasi Perdagangan sejak dilancarkan pada 2009.

Ia termasuk enam eServices teras iaitu eDeclare, ePCO, ePermit, ePermitSTA, eManifest dan ePayment, yang menyediakan komuniti perdagangan dengan sambungan untuk pemprosesan dokumen eksport dan import dan kepada 167 titik masuk dan keluar, serta lebih daripada 30 agensi pengeluar permit di Malaysia dan pautan kepada lebih daripada 10 bank.

Proses prasarana yang kukuh dan mantap DNeX memproses kira-kira 100 juta transaksi pada setiap tahun dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada 35,000 pengguna dalam logistik dan Fasilitasi Perdagangan.

Lanjutan konsesi dua tahun itu bermula dari 1 September lalu hingga 31 Ogos 2021.

Ditanya mengenai harapan Belanjawan 2020, Samsul berkata, DNeX berharap kerajaan menjalankan lebih banyak projek berkaitan teknologi.

“Selari dengan matlamat DNeX untuk mensasarkan lebih banyak projek dalam perniagaan teras kami, terutama membabitkan teknologi maklumat dan e-perkhidmatan, kami memiliki kemampuan serta bersedia untuk melaksanakannya.

“Contohnya projek yang berkaitan dengan digital dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan tenaga kerja terutama di kalangan generasi muda, kemahiran, keupayaan dan pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata, selari dengan matlamat sama, DNeX kini mempersiapkan pekerjanya mempraktikkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) untuk terus berada di kedudukan terbaik pada masa depan.

Pembentangan Belanjawan 2020 dijadualkan pada 11 Oktober ini.

Berita Harian X