Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:23pm

Untung bersih suku kedua Malakoff RM52.25 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malakoff Corp Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019 susut sedikit kepada RM52.25 juta berbanding dengan RM52.55 juta dalam suku sama tahun lalu.

Ia khususnya disumbangkan oleh sumbangan lebih rendah daripada loji tenaga Tanjung Bin Energy Sdn Bhd berikutan gangguan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembetulan berjadual 73 hari, selain sumbangan lebih rendah daripada pelaburan sekutunya.

Dalam suku dikaji, anak syarikat MMC Corporation Bhd itu mencatatkan pendapatan RM1.81 bilion, penurunan 6.6 peratus berbanding RM1.94 bilion yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu.

Ia terutama disebabkan oleh bayaran tenaga lebih rendah daripada loji teaga Tanjung Bin Energy susulan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan dari 31 Mac hingga 12 Jun lalu.

Bagaimanapun, keuntungan bersihnya dalam tempoh enam bulan tahun ini meningkat 13.09 peratus kepada RM129.25 juta berbanding RM105.45 juta setahun lalu.

Peningkatan itu khususnya disebabkan oleh sumbangan meningkat daripada loji tenaga Tanjung Bin Energy, kos sewa kapal lebih rendah berikutan penyiapan tepat masanya jeti mengangkut arang batu dan kos pembiayaan bersih lebih rendah.

Pendapatannya dalam tempoh enam bulan tahun ini meningkat 7.7 peratus kepada RM3.82 bilion, berbanding RM3.55 bilion dalam tempoh sama tahun lalu disumbangkan oleh bayaran tenaga lebih tinggi direkodkan daripada loji tenaga Tanjung Bin Power Sdn Bhd, di tengah-tengah harga arang batu lebih tinggi.

Berikutan prestasi itu, Lembaga Pengarah Malakoff meluluskan pembayaran dividen interim 2.44 sesn sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata kumpulan akan terus fokus untuk meningkatkan kecekapan loji-loji tenaganya menuju ke hadapan.

Beliau berkata, Malakoff baru saja menyelesaikan gangguan berjadual 73 hari di loji tenaga Tanjung Bin Energy, untuk melaksanakan kerja-kerja pembetulan utama.

Katanya, kerja-kerja pembetulan itu dijangka meningkatkan daya tahan dan keupayaan loji tenaga berkenaan.

“Sebagai sebahagian inisiatif pertumbuhan strategik Malakoff, pembelian kepentingan Khazanah Nasional Bhd dalam projek Loji Tenaga dan Air Bebas Shuaibah 3 serta Pengembangan Loji Air Bebas Shuaibah 3 akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga dan pengeluaran air masing-masing kepada 6,708 megawatt (MW) dan 544,375 meter padu sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X