Isnin, 19 Ogos 2019 | 3:28pm
KETUA Eksekutif Focus Point, Datuk C.L Liaw. NSTP/Amirudin Sahib.
KETUA Eksekutif Focus Point, Datuk C.L Liaw. NSTP/Amirudin Sahib.

Focus Point yakin catat untung lebih tinggi

nasuha@bh.com.my

PETALING JAYA: Focus Point Holdings Bhd (Focus Point) yakin dapat mencatat keuntungan lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lalu berikutan prestasi positif yang dicatat pada suku pertama.

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Focus Point, Datuk C.L Liaw berkata pihaknya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM2 juta pada suku pertama tahun ini.

“Jika kami berjaya mengekalkan momentum berkenaan, kami yakin dapat berbuat lebih baik berbanding keuntungan bersih sebanyak RM7.1 juta pada tahun lalu.

“Pada masa ini, kumpulan menjalankan dua operasi perniagaan iaitu segmen optikal serta makanan dan minuman. Segmen optikal menyumbang lebih 90 peratus daripada perolehan kumpulan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa Focus Point di sini, hari ini.

Antara jenama perniagaan di bawah operasi kumpulan adalah rangkaian kedai optik Focus Point, Whoosh dan juga perniagaan bakeri, Komugi.

Mengulas lanjut, Liaw berkata pihaknya juga sudah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM7 juta hingga RM8 juta tahun ini untuk pengembangan operasi.

“Menerusi peruntukan berkenaan, sehingga separuh pertama tahun ini, kami sudah membelanjakan RM4 juta untuk pembukaan 10 cawangan baharu.

“Kami mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan persekitaran perniagaan kekal mencabar tahun ini. Kami tidak membuka cawangan baharu tanpa kajian menyeluruh.

“Kami mahu memastikan semua cawangan yang ada menunjukkan prestasi yang bagus dan mendatangkan keuntungan. Justeru, kami memilih untuk membuka kebanyakan cawangan baharu di dalam pusat beli-belah gred A,” katanya.

Selain itu, Liaw berkata pihaknya juga sedang dalam rundingan untuk membuka cawangan kedai optiknya di Filipina.

“Kami berharap dapat membuka cawangan pertama di negara berkenaan tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X