Jumaat, 12 Julai 2019 | 4:53pm
KETUA Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - Foto Rosdan Wahid
KETUA Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - Foto Rosdan Wahid

Maybank Islamic permudah pemindahan akaun patuh Syariah

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd (Maybank Islamic) memperkenalkan inisiatif pemindahan Akaun Semasa/Simpanan Konvensional (CASA) yang sedia ada kepada Akaun Semasa/Simpanan Islamik (CASA-i) patuh Syariah dengan mudah untuk pelanggan.

Inisiatif berkenaan disasarkan kepada pelanggan yang mahu beralih kepada akaun patuh Syariah tetapi keberatan kerana pemindahan itu membabitkan pertukaran nombor akaun.

Ketua Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata pencapaian itu adalah inisiatif pertama di negara ini bagi bank Islam yang menawarkan pemindahan Akaun Semasa/Simpanan tanpa sebarang kerumitan.

“Kemas kini Akaun Semasa/Simpanan ini adalah perkhidmatan yang menawarkan kemudahan kepada pelanggan kami untuk membuat pertukaran dari akaun konvensional kepada akaun patuh Syariah, namun pada masa yang sama mengekalkan nombor akaun yang sedia ada.

“Arahan tetap yang tersedia turut dikekalkan serta boleh dilakukan dengan mudah, lancar dan percuma,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelanggan kini boleh membuat pemindahan akaun berkenaan dengan mudah menerusi perbankan atas talian Maybank atau lebih dikenali sebagai M2U.

Pertama, pelanggan perlu menekan simbol tiga titik yang berada di atas butiran paparan Akaun Semasa/Simpanan.

Seterusnya, mereka harus menekan pilihan untuk beralih ke akaun Akaun Semasa/Simpanan patuh Syariah.

Langkah terakhir pula akan memaparkan notifikasi mengenai status pemindahan akaun berkenaan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akses untuk perbankan atas talian pula boleh mengunjungi cawangan Maybank berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Mohamed Rafique berkata, perkhidmatan yang ditawarkan amat bersesuaian dengan pelanggan masa kini yang lebih bijak, mementingkan layanan yang cepat serta mudah untuk digunakan.

“Kami mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada pelanggan yang mahu beralih kepada akaun patuh Syariah,” katanya.

Berita Harian X