Rabu, 3 Julai 2019 | 8:45am

Cypark terbit sukuk RM550 juta biaya projek solar

KUALA LUMPUR: Cypark Resources Bhd, menerusi anak syarikat milik penuh Cypark Ref Sdn Bhd, merancang menerbitkan sukuk mapan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah program Sukuk Murabahah dengan nilai nominal sehingga RM550 juta bagi membiayai projek loji tenaga solar miliknya.

Menurut kumpulan bersepadu tenaga boleh diperbaharui itu, sukuk terbitan Cypark Ref itu akan membabitkan tempoh sehingga 22 tahun bermula dari tarikh terbitannya.

Hasil terbitan itu akan digunakan bagi membiayai sebahagian reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan membabitkan tiga projek jana kuasa fotovoltan solar 30 MWAC (megawatt, arus ulang-alik), katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia.

Ini akan turut digunakan bagi membiayai bayaran keuntungan sukuk ketika tempoh pembinaan dan bagi pembiayaan baki minimum awal diperlukan untuk didepositkan ke dalam Akaun Rizab Khidmat Kewangan serta bagi menampung perbelanjaan berkaitan terbitan sukuk itu.

Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal, pengatur dan pengurus utama program sukuk itu.

Bank pelaburan itu menyerahkan semua maklumat berkaitan program sukuk itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia semalam di bawah garis panduan dan produk modal pasaran tidak tersenarai yang ditetapkan.

Berita Harian X