Khamis, 6 Jun 2019 | 3:04pm
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - NSTP/Rosdan Wahid
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican. - NSTP/Rosdan Wahid

Maybank mahu hubungkan GCC, ASEAN dengan perbankan Islam

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd (MIB), bank Islam terbesar dari segi aset di ASEAN, mahu menjadi jambatan dalam sektor perbankan Islam antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan rantau ini selepas cawangannya di Dubai memulakan operasi pada Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohamed Rafique Merican menyatakan keyakinan bahawa syarikat akan dapat memainkan peranan dalam memudahkan perdagangan, selain aliran dana untuk aktiviti kewangan antara dua rantau, berdasarkan kedudukan MIB yang kukuh dalam kewangan Islam, terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Misalnya, Malaysia membeli minyak dan gas atau produk lain daripada GCC dan sebaliknya.

"Dengan itu, kami dapat meningkatkan aliran perdagangan bukan hanya antara dua negara, tetapi juga antara rantau," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Tahun lepas, MIB mengumumkan bahawa ia mungkin menerima kelulusan kawal selia untuk menubuhkan cawangannya di Dubai pada separuh pertama tahun ini.

Sebagai bank Islam terbesar di Malaysia (menyumbang 30 peratus bahagian pasaran) dan antara lima bank Islam terbesar di peringkat global, MIB, bank Islam berlesen dan milik penuh Malayan Banking Bhd (Maybank), mempunyai nilai aset sebanyak RM225 bilion sehingga 31 Disember 2018.

Jumlah pembiayaan kasarnya bagi tahun kewangan 2018 naik 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM176.8 bilion, dan pembiayaan Islamnya menyumbang sebanyak 58.7 peratus kepada jumlah pinjaman dan pembiayaan kumpulan.

Mengulas mengenai prospek pertumbuhan pembiayaan Islam negara, Mohamed Rafique menjangka kadar pertumbuhan kekal mendatar sebanyak 11 peratus pada 2019, sama dengan 2018, berdasarkan tahap pembangunan Malaysia yang berada "di tengah-tengah antara Singapura dan Indonesia".

"Bagi negara maju seperti Singapura, apabila tiada permintaan yang tinggi untuk infrastruktur baharu atau pengangkutan awam, kadar pertumbuhan (biasanya) akan lebih perlahan, atau berkembang sejajar dengan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.

"Berbanding negara-negara seperti Indonesia, apabila masih terdapat banyak yang perlu dilakukan, pembiayaan Islam dijangka berkembang sebanyak 1.5 kali atau lebih banyak daripada pertumbuhan KDNK, berikutan negara itu masih perlu melabur dalam projek infrastruktur atau perumahan," katanya.

Selain itu, katanya pertumbuhan sederhana KDNK negara, yang diunjurkan antara 4.3 dan 4.8 peratus pada tahun ini, turut dijangka membawa kepada prestasi mendatar kepada pengembangan pembiayaan Islam pada tahun ini.

Mohamed Rafique, bagaimanapun, menegaskan pertumbuhan pembiayaan Islam yang diunjurkan sebanyak 11 peratus masih tinggi berbanding pertumbuhan pinjaman konvensional, yang sebanyak tiga hingga empat peratus pada tahun lalu.

Mengenai prospek sukuk, apabila Malaysia berada pada kedudukan utama dalam terbitan sukuk global pada suku pertama 2019, beliau menjangka terbitan akan terus mendatar pada tahun ini.

Ini sejajar dengan kebanyakan unjuran agensi penarafan global dengan ekonomi global yang tidak menentu, berikutan persekitaran yang mencabar akan membawa kepada peningkatan kos pembiayaan untuk terbitan sukuk.

Bagaimanapun, katanya MIB akan terus mencari peluang untuk mengatur sukuk, sama ada dalam negara atau di ASEAN, pada masa depan.

"Pada tahun ini, saya fikir terbitan sukuk oleh kerajaan kira-kira RM100 bilion hingga RM110 bilion, manakala di bahagian korporat, sebanyak RM80 bilion hingga RM90 bilion pada 2019, agak tidak berubah berbanding 2018," katanya.

MIB antara pengatur utama sukuk dalam Jadual Liga Sukuk Global 2018 Bloomberg yang menguasai 8.8 peratus daripada bahagian pasaran global dengan 145 terbitan bernilai AS$3.94 juta.

Laporan Tahunan 2018 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan kerajaan dan terbitan sukuk korporat sebanyak RM199.90 bilion pada 2018, dan RM72.68 bilion diterbitkan oleh sektor korporat.

Mengenai prospek terbitan sukuk hijau Malaysia pada tahun ini, Mohamed Rafique yakin ia akan terus meningkat pada tahun ini, bagaimanapun enggan memberikan sebarang unjuran untuk pertumbuhan.

"Sukar untuk dikatakan, berikutan ia bergantung kepada hasrat penerbit disebabkan standard pematuhan yang tinggi untuk sukuk hijau," katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan kesedaran mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang meningkat dalam kalangan pelabur, beliau percaya sukuk hijau atau pembiayaan hijau akan berkembang sejajar dengan kesedaran pada masa depan.

"Misalnya, sebelum ini, pemaju aset penjanaan tenaga mungkin mahu membina stesen jana kuasa arang batu atau gas, tetapi kini terdapat juga stesen jana kuasa hidro, solar atau angin.

"Oleh itu, jika (permintaan terhadap) tenaga boleh baharu meningkat, sukuk hijau atau pembiayaan hijau juga akan meningkat sejajar dengan (permintaan)," katanya, sambil menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam pasaran bon Islam hijau.

Malaysia mengesahkan kedudukannya dalam peta sukuk hijau dunia selepas Tadau Energy Sdn Bhd dan Quantum Solar Park Semenanjung Sdn Bhd muncul sebagai entiti pertama dan kedua di dunia menerbitkan sukuk hijau, masing-masing bernilai RM250 juta dan RM1 bilion, pada 2017. - BERNAMA

Berita Harian X