Jumaat, 31 Mei 2019 | 6:47pm

MIDF Investment atur sukuk projek tenaga hidro

KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bank Bhd, dilantik oleh Telekosang Hydro One Sdn Bhd (TH1) sebagai Penasihat Prinsipal, Pengatur Utama dan Pengurus Utama Bersama bagi terbitan nota Islam jangka sederhana RM470 juta dalam nilai nominal di bawah Wakalah Bi Al-Istithmar (Telekosang ASEAN Green SRI Sukuk).

Anak syarikat milik penuh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) itu juga dilantik Penasihat Prinsipal, Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi cadangan terbitan bon junior TH1 bernilai RM120 juta (Telekosang ASEAN Green Junior Bonds).

TH1 dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd diberikan kelulusan ‘feed-in’ daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) pada 26 Oktober 2017 bagi membangunkan loji tenaga hidro kecil 24 megawatt (MW) dan 16 MW terletak di Tenom, Sabah.

Perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui yang berkaitan dengan projek itu dimeterai bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada 28 Mac lalu.

Hasil daripada terbitan yang dijana daripada Telekosang ASEAN Green SRI Sukuk kebanyakannya akan digunakan untuk membiayai projek berkenaan.

Telekosang ASEAN Green SRI Sukuk dan Telekosang ASEAN Green Junior

Bonds masing-masing mempunyai tempoh 18 tahun dan 20 tahun.

RAM Rating Services Bhd memberikan penarafan awal AA3/Stabil kepada Telekosang ASEAN Green SRI Sukuk dan A2/Stabil kepada Telekosang ASEAN Green Junior Bonds.

MIDF dalam kenyataannya berkata, Telekosang Group menyasar untuk memainkan peranan dalam usaha global mewujudkan masa depan karbon rendah, iklim berdaya tahan dan lestari dengan melaksanakan projek-projek tenaga boleh diperbaharui.

Ia, katanya menyumbang kepada pengurangan kebergantungan negara kepada tenaga dijana menggunakan bahan api fosil.

“Projek-projek itu juga akan menyumbang secara positif ke arah sasaran Malaysia untuk meningkatkan portfolio menjana tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus menjelang 2025 dan menyediakan sokongan kepada grid tenaga SESB,” katanya.

Berita Harian X