Selasa, 23 April 2019 | 5:46pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Datuk Mohd Hanif Suadi; Ketua Pengarah Kawal Selia Perbankan Bank Negara Kemboja, Rath Sovannorak; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin dan Pengasas MoneyTree, Michael Reyes pada majlis pelancaran Program Literasi Kewangan "Cashville Kidz" 2019, sempena Hari Literasi Kewangan Kemboja di Phnom Penh.
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Datuk Mohd Hanif Suadi; Ketua Pengarah Kawal Selia Perbankan Bank Negara Kemboja, Rath Sovannorak; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin dan Pengasas MoneyTree, Michael Reyes pada majlis pelancaran Program Literasi Kewangan "Cashville Kidz" 2019, sempena Hari Literasi Kewangan Kemboja di Phnom Penh.

Maybank perluas program "Cashville Kidz" ke ASEAN

PHNOM PENH: Kumpulan Maybank mengukuhkan jenamanya di rantau ini menerusi pelaksanaan beberapa strategi termasuk pengembangan program literasi kewangan "Cashville Kidz" ke empat negara ASEAN, bermula tahun ini.

Program yang dijalankan menerusi Yayasan Maybank itu akan diperluaskan ke Indonesia, Filipina, Singapura dan Myanmar, selepas Malaysia dan Kemboja.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata "Cashville Kidz" kini memasuki tahun ketujuh penganjuran dan pelaksanaannya menunjukkan perkembangan sangat menggalakkan.

"Program berkenaan sudah dilaksanakan di Malaysia bermula 2013, manakala di Kemboja bermula pada 2016. Sehingga ini,  Yayasan  Maybank memperuntukkan sejumlah AS$1.05 juta (RM4.33 juta) iaitu kira-kira RM1.3 juta setahun bagi menjayakan pelaksanaan program itu di dua negara terbabit.

"Hasil daripada pertumbuhan positif itu, kami akan menambah jumlah peruntukan sehingga RM2.5 juta setahun bagi melaksanakan program berkenaan dan memperluaskannya ke Indonesia, Singapura, Filipina dan Myanmar," katanya kepada BH, ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Literasi Kewangan "Cashville Kidz" 2019, sempena Hari Literasi Kewangan Kemboja, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara Kemboja, Neav Chantana.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, Dr Im Koth; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Wanita, Chan Sorey dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Datuk Mohd Hanif Suadi.

Shahril Azuar berkata, penganjuran program di Kemboja tahun lalu berjaya melepasi sasaran iaitu membabitkan penyertaan lebih 4,000 pelajar berbanding 3,200 pelajar.

Justeru, katanya bagi pengembangan program ke empat negara ASEAN itu, pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 3,780 pelajar untuk tahun ini dan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak AS$204,000 (RM821,000).

Bermula 2013, program berkenaan berjaya merekodkan penyertaan lebih 180,000 pelajar dari lebih 790 sekolah di Malaysia, sementara di Kemboja mencatatkan lebih 5,000 pelajar dari 23 sekolah.

Ia turut merekodkan peningkatan lebih 25 peratus kadar celik kewangan di kalangan kumpulan sasar.

Program literasi kewangan "Cashville Kidz"  adalah perancangan empat tahun Yayasan Maybank untuk memberi kesedaran dan menggalakkan pembangunan generasi lebih berpengetahuan dalam aspek menguruskan kewangan.

Selain itu, Maybank adalah satu-satunya institusi perbankan antarabangsa yang mengambil inisiatif melaksanakan program seumpamanya di Kemboja, seterusnya memperluaskan ke negara membangun lain di ASEAN.

Penganjuran program di  Kemboja turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Kemboja, kementerian berkaitan dan institusi kewangan tempatan.

Berita Harian X