Khamis, 11 April 2019 | 1:07pm
Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).
Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).

CTRM unjur pendapatan RM1 bilion pendapatan

MELAKA: Pengeluar komponen aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) menjangkakan pendapatannya bakal mencecah RM1 bilion buat kali pertama tidak lama lagi didorong oleh unjuran pertumbuhan industri penerbangan terutama dalam segmen tambang rendah.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata banyak syarikat penerbangan tambang murah beroperasi di Malaysia dan di rantau ini yang mana semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Katanya, perkembangan ini membawa maksud semakin banyak pesawat yang akan diperlukan bagi memenuhi kapasiti dan permintaan terhadap pasaran.

"Berdasarkan unjuran dibuat oleh Boeing dan Airbus, industri dijangka akan berkembang.

“Malah China juga telah mengumumkan mengenai COMAC (Commercial Aircraft Corp Of China Ltd) baru-baru ini. Kami percaya terdapat pertumbuhan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena DRB-HICOM Media Escapade 2019 di sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Korporatnya, Datuk Jezilee Mohamad Ramli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd (PROTON), Datuk Radzaif Mohamed; CEO CTRM, Shamsuddin Mohd Yusof; CEO PUSPAKOM, Mohammed Sukor Ismail dan CEO Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), Roslan Roskan.

CTRM merekodkan pendapatan sebanyak RM922.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018. Ia mempunyai buku pesanan bernilai RM9.5 bilion setakat Mac 2018.

Mengulas mengenai pelan pengembangan CTRM, Syed Faisal, berkata syarikat itu kini sedang mengembangkan kemudahan kilangnya di Batu Berendam, Melaka.

Katanya, bangunan keenam kilang CTRM itu dibina dengan kos RM140 juta dan siap dibina pada Disember lalu dan kini sedang dalam proses memasang peralatan dan kelengkapan diperlukan.

"Ia dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan dan dilaksanakan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan dalam industri," katanya.

Sementara itu Shamsuddin berkata, CTRM tidak terkesan dengan tindakan seluruh dunia menghentikan penerbangan pesawat Boeing 737 Max baru-baru ini.

Ini kerana katanya, pesawat itu hanya mewakili 1.5 peratus daripada keseluruhan kerja yang diterimanya.

CTRM terbabit dalam pembuatan komponen komposit ringan, terutamanya dalam industri penerbangan termasuk kipas dan bahagian sayap.

Pelanggan utamanya adalah pengeluar struktur aero terbesar di dunia, Spirit AeroSystems dan UTC Aerospace Systems dan membekalkan komponen-komponen berkenaan kepada Boeing dan Airbus.

Menurut Jangkaan Pasaran Global Airbus 2018-2037, kira-kira 37,400 pesawat baru bernilai AS$5.8 trilion akan diperlukan dalam tempoh 20 tahun, dengan peningkatan lalu lintas yang meningkat pada kadar 4.4 peratus setahun, mendorong kepada keperluan 37,390 pesawat penumpang dan kargo baharu.

Pada Mac lalu, COMAC yang dimiliki oleh kerajaan China mengumumkan bahawa ia sedang membina C919, sebuah pesawat penumpang berbadan sempit dengan kapasiti kira-kira 170.

Ia mengatakan yang syarikat itu mempunyai lebih daripada 800 pesanan di seluruh dunia.

Berita Harian X