Isnin, 4 Februari 2019 | 6:35pm
RIAD Asmat
RIAD Asmat

MAHB tidak jujur dalam hujahnya - AirAsia

KUALA LUMPUR: AirAsia menyifatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak jujur dalam hujahnya berkenaan cukai lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata kenyataan tujuh muka surat bertajuk “MAHB Clarifies on Airport Passenger Service Charge and Condition of Use” yang dikeluarkan pengendali lapangan terbang itu semalam sebenarnya bukan menjelaskan.

Sebaliknya, ia semakin mengaburi penjelasan mengenai kenaikan cukai lapangan terbang di klia2 yang mana AirAsia enggan mengutip dan membebankan pelanggan dengan kepentingan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab kos rendah di rantau ini.

Beliau menegaskan, AirAsia kekal dengan pendirian bahawa keputusan mengenakan caj cukai lapangan terbang yang sama di KLIA dan klia2 pada asasnya adalah salah dan melanggar prinsip tiada diskriminasi harga dengan mengandaikan perkhidmatan yang setanding.

“Kami kekal dengan pendirian bahawa tahap perkhidmatan yang ditawarkan di KLIA (premium) dan klia2 (tambang rendah) adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan MAHB semalam.

Riad berkata, AirAsia juga mengekalkan pendiriannya bahawa Lembaga Wakil Syarikat Penerbangan (BAR) mewakili hanya kepentingan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan bukan syarikat penerbangan tambang rendah.

Beliau berkata, syarikat penerbangan yang menjadi anggota BAR sudah mengenakan caj tambang premium kepada penumpang mereka, jadi mereka tidak boleh mengenakan standard mereka terhadap syarikat penerbangan tambang rendah, yang mengendalikan segmen yang berbeza sama sekali.

Riad berkata, AirAsia akan terus menjadikan perjalanan udara dapat diakses oleh semua orang dan memastikan keadilan caj bagi pengguna berdasarkan perkhidmatan, termasuk yang disediakan MAHB.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa orang awam tidak sepatutnya menderita demi memperkayakan monopoli.

MAHB semalam menjelaskan pihaknya serta Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) tidak mempunyai kuasa menentukan, menetapkan atau mengawal kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Pengendali lapangan terbang itu berkata, kadar PSC di negara ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), badan pengawal selia ekonomi bebas untuk industri penerbangan awam di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Berita Harian X