Isnin, 4 Februari 2019 | 5:16pm
TIMBALAN Pengerusi Eksekutif DNEX dan Pengerusi Eksekutif Dagang Net, Datuk Samsul Husin. - Foto Faiz Anuar
TIMBALAN Pengerusi Eksekutif DNEX dan Pengerusi Eksekutif Dagang Net, Datuk Samsul Husin. - Foto Faiz Anuar

Dagang Net lancar eService untuk kargo udara

KUALA LUMPUR: Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melancarkan perkhidmatan elektronik (eService) baharu bagi kelulusan kargo melalui mod udara.

Dikenali sebagai ‘Pre-Alert Manifest’, eService itu memudahkan urusan dokumentasi perdagangan dan pergerakan kargo dalam negara membabitkan barangan import kecil yang terdiri dari parcel, dokumen dan surat dengan jumlah kos, insurans dan barang (CIF) yang tidak melebihi RM500 bagi setiap penghantaran.

Timbalan Pengerusi Eksekutif DNEX dan Pengerusi Eksekutif Dagang Net, Datuk Samsul Husin, berkata Pre-Alert Manifest adalah penyelesaian bersepadu dengan platform pemprosesan automatik bagi penilaian umum dan kriteria pengesahan yang bertujuan mempercepatkan pemprosesan dan pelepasan kargo udara.

“eService ini melengkapi dan dioperasikan dengan sistem dan proses dokumentasi perdagangan berkaitan dengan kastam,” katanya pada majlis pelancaran eService itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Samsul berkata, ia adalah sistem berasaskan pelanggan yang mempunyai kebolehlaksanaan data untuk mempercepat dan mempermudahkan proses penyerahan dan pengesahan dengan menghilangkan keperluan untuk mengulang masuk data.

Menurutnya, ia juga menawarkan ciri-ciri seperti pelaporan papan pemuka; penyesuaian dan mekanisme amaran automatik; kebolehlihatan dan pemantauan barangan; pengesanan penipuan; dan pengurusan risiko.

"Kami terus mengembangkan penyelesaian kami bersama ekosistem Fasilitasi Perdagangan di bawah inisiatif Platform Digital Dagang Net untuk menyediakan perkhidmatan lengkap dan inovatif bagi membantu pelanggan menjadi lebih cekap dengan Pre-Alert Manifest adalah bukti kepada komitmen ini,” katanya.

Samsul berkata, eService baharu itu akan dapat memasuki pasaran baharu bagi syarikat iaitu barangan import kecil melalui segmen mod udara.

“Kami jangkakan Pre-Alert Manifest ini mampu menarik sekitar 250,000 hingga 350,000 transaksi sebulan dan yurannya adalah 80 sen per kilobait bagi data yang dihantar,” katanya.

Sistem itu dibangunkan dan diselenggarakan oleh 100 peratus bakat tempatan di mana Dagang Net memiliki kira-kira 300 pekerja yang mengurus dan menyelenggarakan eko sistem National Single Window (NSW) termasuk pusat hubungan yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Dagang Net menjadi pengendali NSW untuk Fasilitasi Perdagangan sejak dilancarkan pada 2009 yang mana ia termasuk enam eServices teras iaitu eDeclare, ePCO, ePermit, ePermitSTA, eManifest dan ePayment, yang menyediakan komuniti perdagangan dengan sambungan untuk pemprosesan dokumen eksport dan import dan kepada 167 titik masuk dan keluar serta lebih daripada 30 agensi pengeluar permit di Malaysia dan pautan kepada lebih daripada 10 bank.

Proses prasarana yang kukuh dan mantap syarikat itu memproses kira-kira 100 juta transaksi pada setiap tahun dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada 35,000 pengguna dalam logistik dan Fasilitasi Perdagangan.

Berita Harian X