Jumaat, 1 Februari 2019 | 4:53pm

Malindo Air sasar pulangan modal dalam dua tahun

KUALA LUMPUR: Malindo Air, syarikat penerbangan tempatan yang terjejas oleh tukaran mata wang asing dan kenaikan harga bahan api menyasarkan pulangan modal dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandaran Rama Muthy, berkata 50 hingga 60 peratus daripada laluan syarikat penerbangan itu kini menunjukkan pulangan yang baik.

“Apabila anda memulakan sesuatu laluan, ia seumpama menanam pokok. Anda perlu menunggu untuk beberapa ketika sebelum boleh menuai hasilnya.

“Faktor muatan Malindo Air kini berada sekitar 75 peratus dengan sasaran untuk mencecah 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, saya akui Malindo masih belum boleh menghasilkan imbangan kira-kira yang positif berikutan faktor turun naik mata wang dan kenaikan harga minyak. Kami masih dalam fasa untuk berkembang selepas lima tahun beroperasi,” katanya dipetik sebagai berkata oleh portal FlightGlobal.

Malindo Air memulakan operasi pada 2013 sebagai sebuah penerbangan hibrid menerusi jalinan kerjasama antara National Aerospace and Defence Industries (NADI) dan Lion Group dari Indonesia.

Selepas NADI melupuskan pegangannya pada 2017, Chandran menguasai 51 peratus kepentingan dalam Malindo Air.

Beliau menukar model perniagaan syarikat berkenaan untuk menjadi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan ia dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan terhadap jenama Malindo.

Chandran berkata, dari segi skala operasi, Malindo disifatkan masih kecil jika hendak dibandingkan dengan pesaingnya iaitu AirAsia dan Malaysia Airlines yang masing-masing telah beroperasi lebih 18 dan 40 tahun.

Bagaimanapun, beliau percaya masih ada ruang untuk dua penerbangan perkhidmatan penuh untuk bersaing dalam pasaran.

“Ini kerana kami dapat mengekalkan permintaan dalam jangka masa yang tidak stabil walaupun dengan adanya AirAsia yang menguasai sebahagian besar pasaran,” katanya.

Malindo kini beroperasi dengan rangkaian 42 pesawat merangkumi 30 pesawat Boeing 737 NGs dan 12 pesawat ATR 72-600s.

Pesawat tertuanya berusia kurang dari enam tahun.

Chandran berkata, untuk menguruskan perniagaan penerbangan bukanlah sesuatu yang sukar tetapi cabaran terbesarnya adalah untuk menguruskan hubungan dan manusia.

“Tidak sukar untuk mengendalikan syarikat penerbangan. Anda buka laluan baharu, laksanakan kempen pemasaran yang betul, lakukan pengagihan dengan betul dan jadikan urusan penerbangan lebih mudah dan murah,” katanya.

Berita Harian X