Jumaat, 25 Januari 2019 | 5:34pm

MNRB Holdings rancang sukuk RM320 juta

KUALA LUMPUR: Pengendali takaful, MNRB Holdings Bhd (MNRB Holdings) bercadang melaksanakan program sukuk sehingga RM320 juta dalam nilai nominal.

Syarikat berkenaan telah menghantar kit penyerahan bagi cadangan pelaksanaan program sukuk murabahah kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, MNRB Holdings berkata program berkenaan adalah bagi terbitan sukuk murabahah senior dan/atau sukuk murabahah subordinat.

“Sukuk Murabahan Subordinat yang akan diterbitkan perlu memenuhi modal instrumen Tier 2 yang tertakluk kepada kepatuhan syarat Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko bagi Penginsurans yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia pada 31 Mei 2017.

“Setiap sukuk murabahah subordinat yang diterbitkan di bawah program berkenaan perlu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya lima tahun tertakluk kepada penebusan awal manakala setiap sukuk murabahah senior yang diterbitkan di bawah program berkenaan perlu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya setahun.

“Hasil daripada program berkenaan perlu digunakan bagi tujuan patuh Syariah seperti membiayai semula pinjaman atau pembiayaan MNRB yang sedia ada atau di masa depan termasuklah menebus sebarang Sukuk Murabahah matang yang diterbitkan di bawah program berkenaan.

“Selain itu, ia juga perlu digunakan bagi pelaburan ke dalam anak syarikat MNRB yang terbabit dalam aktiviti patuh syariah; pelaburan dalam pelaburan yang dibenarkan serta membayar yuran dan belanja berkaitan dengan program sukuk murabahah itu,” katanya.

AmInvestment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal, pengatur utama dan juga pengurus utama bagi program berkenaan.

Berita Harian X