X
Khamis, 24 Januari 2019 | 5:42pm
Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway Berhad, Sarena Cheah memberi taklimat media untuk mengumumkan rancangan Tahun kewangan 2019 di Galeri Jualan Sunway Velocity Two, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway Berhad, Sarena Cheah memberi taklimat media untuk mengumumkan rancangan Tahun kewangan 2019 di Galeri Jualan Sunway Velocity Two, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Sunway Property sasar jualan RM1.3 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Sunway Property, cabang hartanah Sunway Bhd menjangkakan prestasi jualan positif bagi tahun kewangan 2019 dengan sasaran jualan RM1.3 bilion, dipacu oleh pelancaran projek hartanah baharu bernilai RM2 bilion.

Pengarah Urusan Sunway Bhd (Bahagian Hartanah), Sarena Cheah, berkata pihaknya yakin menerusi pelancaran hartanah terbaharu akan terus memberi pulangan baik kepada syarikat tahun ini berikutan 70 peratus daripada projek berkenaan adalah merangkumi projek pembangunan dan perbandaran bersepadu.

"Segmen hartanah berkenaan kini dalam pembinaan dan kami sudah memperuntukkan pelaburan sebanyak RM3 bilion.

"Sasaran jualan RM1.3 bilion itu adalah nilai yang dijangka boleh dicapai berikutan tahun lalu kami juga meletakkan jumlah hampir sama dan kami berjaya melepasinya," katanya pada taklimat media mengenai prestasi dan prospek Sunway Property 2019, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway Berhad, Sarena Cheah (tengah) melancarkan Skim Pemilikan Rumah Super 5 sempena Majlis taklimat media untuk mengumumkan rancangan Tahun kewangan 2019 di Galeri Jualan Sunway Velocity Two, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway Berhad, Sarena Cheah (tengah) melancarkan Skim Pemilikan Rumah Super 5 sempena Majlis taklimat media untuk mengumumkan rancangan Tahun kewangan 2019 di Galeri Jualan Sunway Velocity Two, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pada majlis sama, Sunway Property turut melancarkan Super 5, iaitu skim pemilikan kediaman mudah sebagai salah satu langkah membantu orang ramai membeli rumah.

Cheah berkata, Sunway Property pada masa ini mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM2.1 bilion.

Beliau berkata, beberapa projek baharu yang akan dilancarkan tahun ini merangkumi wilayah tengah membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM630 juta; wilayah selatan dengan GDV RM260 juta dan wilayah utara dengan GDV berjumlah RM130 juta.

"Kami juga bakal melancarkan pembangunan residens di Brookvale Park, Clementi di Singapura dengan anggaran GDV sebanyak RM1 bilion," katanya.

Melangkah ke hadapan katanya, pihaknya akan terus meneroka kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bukan saja di Malaysia, malah Singapura, Australia dan United Kingdom.

"Ini adalah masa terbaik untuk kami terus meninjau kawasan hartanah berpotensi dalam dan luar negara, meskipun berdepan pasaran yang agak perlahan.

"Peluang untuk meningkatkan simpanan tanah adalah strategik jangka sederhana dan panjang bagi syarikat kami dan ia perlu diteliti dengan sebaiknya," katanya.

Sunway Property kini memiliki sejumlah 1,331 hektar simpanan tanah dengan GDV sebanyak RM56.8 bilion.Ia membabitkan 54 peratus kawasan di Johor, 25 peratus di Lembah Klang, enam peratus di Pulau Pinang, satu peratus di Singapura dan 14 peratus di beberapa lokasi lain.

Berita Harian X