Isnin, 21 Januari 2019 | 5:51pm
Mohd Johari merasmikan majlis pelancaran cawangan Football Republic di Kuantan, hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Mohd Johari merasmikan majlis pelancaran cawangan Football Republic di Kuantan, hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Al-Ikhsan labur RM2 juta buka empat cawangan Football Republic

KUANTAN: Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) melabur kira-kira RM2 juta untuk membuka empat cawangan gedung gaya hidup bola sepaknya, Football Republic pada tahun ini.

Empat gedung berkenaan adalah di Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Johor Bahru.

Ketua Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali, berkata lazimnya pihaknya melabur sekitar RM300,000 bagi setiap cawangan Football Republic, bagaimanapun untuk tahun ini ada pertambahan berikutan saiz cawangannya di Johor Bahru yang lebih besar.

“Pembukaan empat cawangan baharu ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan Al-Ikhsan sebagai peneraju penjual barangan keperluan bola sepak terutamanya yang berkualiti tinggi dan premium.

“Peminat boleh mendapatkan peralatan bola sepak premium dan berkualiti tinggi di Football Republic yang tidak ada dijual di tempat lain, kita bekerjasama dengan rakan niaga seperti Nike, Adidas, Puma dan Umbro untuk membawanya ke Malaysia,” katanya ditemui media selepas majlis pelancaran cawangan Football Republic di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.

,

Hadir sama Ketua Jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh dan Ketua Pasukan Pahang, Matthew Davies.

Mizal turut mengumumkan penajaan skuad Pahang oleh Al-Ikhsan dalam bentuk peralatan bola sepak untuk tempoh dua tahun sehingga 2020.

Dalam pada itu, Mizal berkata, peminat harus menyokong industri bola sepak negara dengan membeli barangan asli demi kelangsungan ekonomi penggiatnya sekali gus merancakkan lagi saingan baik di peringkat tempatan serta antarabangsa.

“Saya meminta peminat bola sepak supaya membeli barangan asli, perkara (pembelian barangan ciplak) ini sangat serius kerana ada laporan menyebut jumlah dagangannya melebihi RM1 bilion.

“Jumlah itu lebih besar lima hingga enam kali ganda daripada nilai dagangan Al-Ikhsan, soalnya ke mana wang itu pergi...adakah ia sampai kepada pasukan? Tidak, sebaliknya hanya orang tertentu menikmatinya.

“Ia tidak membantu sukan bola sepak negara dan peminat harus menyokong dengan membeli barangan asli,” katanya.

Berita Harian X