Rabu, 9 Januari 2019 | 5:20pm

NFCP mampu pecah monopoli TM

KUALA LUMPUR: Projek Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan memberikan persaingan baharu dalam segmen jalur lebar talian tetap di Malaysia.

Malah, projek rintis yang menyediakan peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM1 bilion itu dijangka mampu mengakhiri monopoli Telekom Malaysia Bhd (TM) sebagai penyedia jalur lebar tetap terbesar negara.

Menurut Public Investment Bank Bhd, beberapa penyedia perkhidmatan internet sudah melancarkan pakej Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) baharu, berikutan kejayaan projek rintis NFCP di Jasin, Melaka.

"Beberapa peserta pasaran yang menawarkan pakej berkenaan adalah seperti Astro, Maxis, Digi, Celcom dan City Broadband," katanya dalam nota penyelidikan.

Sebelum ini, wujud gesaan daripada kerajaan meminta TNB membuka rangkaian fibernya kepada syarikat telekomunikasi bagi menyokong keperluan negara ini meningkatkan penembusan jalur lebar.

Langkah itu, menurut penganalisis, akan menyebabkan berakhirnya monopoli TM dalam sektor fiber di negara ini.

Public Investment Bank berkata, projek NFCP memberi impak negatif kepada TM berikutan wujud persaingan baharu, tetapi pada masa sama TNB perlu memastikan keupayaan mereka dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar terbaik.

"TNB boleh memperlihatkan perbezaan keupayaan mereka berbanding peserta telekomunikasi sedia ada jika menyediakan perkhidmatan jalur lebar di kawasan yang belum diterokai pesaing lain, selain menawarkan produk mereka pada harga lebih rendah," katanya yang turut mengekalkan unjuran 'underweight' atau kurang berprestasi bagi sektor telekomunikasi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Firma penyelidikan itu juga berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan projek berkenaan dapat memberikan potensi pertumbuhan pendapatan TNB melalui penyewaan infrastruktur fiber tetapi impak pendapatan dijangka tidak memberikan kesan yang signifikan kepada kumpulan syarikat utiliti itu.

"Bagaimanapun, untuk bersaing secara langsung dengan peserta pasaran yang sedia ada, kami percaya TNB perlu membuat pelaburan yang signifikan adalah penting untuk meneruskan pengembangan pada masa depan," katanya.

Projek inisiatif NFCP diumumkan dalam Belanjawan 2019 yang mana membabitkan 1,100 kediaman di tiga kawasan di Jasin iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor.

Sebaik fasa kedua projek rintis itu selesai mengikut jangkaan pada Mac ini, hasilnya akan diteliti dan satu pelan akan diketengahkan untuk direplikasi di lokasi lain di seluruh negara.

Menerusi NFCP, penduduk di Kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan FELDA Kemendor kini dapat menikmati internet berkelajuan tinggi mencecah satu gigabit sesaat (1Gbps) pada harga berpatutan.

Menurut laporan sebelum ini, NFCP juga mampu menyasarkan peningkatan liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk sekurang-kurangnya lima kali ganda kepada 98 peratus menjelang 2023 dengan kelajuan minimum 30 megabait sesaat (Mbps).

Ia bakal direalisasikan dengan penggunaan spektrum 700MHz, selain secara berperingkat mengeluarkan rangkaian kuprum.

Berita Harian X