Rabu, 9 Januari 2019 | 2:03pm

MAHB permudah penguatkuasaan e-hailing

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyedari peraturan baharu mengenai perkhidmatan e-hailing yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dan bersedia untuk bekerja rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memudahkan penguatkuasaan mulai 12 Julai 2019.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata kawasan menunggu awam yang terletak bersebelahan tempat letak kereta jangka panjang (LTCP) adalah kawasan menunggu untuk semua.

"Kemudahan ini disediakan untuk menangani isu-isu kenderaan yang meletak kenderaan dan menunggu di tepi jalan di kawasan yang tidak dibenarkan. Sejak itu, kejadian meletak kenderaan di kawasan yang dilarang semakin berkurangan, sekali gus menambah baik keselamatan jalan raya di lapangan terbang itu,” katanya.

MAHB berkata papan tanda e-hailing telah ditanggalkan sebagai menandakan kawasan menunggu itu terbuka untuk semua.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata syarikat yang menawarkan perkhidmatan e-hailing mesti berdaftar selewat-lewatnya 12 Julai tahun ini.

Berita Harian X