Jumaat, 4 Januari 2019 | 3:44pm

Maswings dapat kebenaran kendali 39 laluan Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA: Maswings Sdn Bhd mendapat kebenaran untuk menyediakan operasi penerbangan di 39 laluan di Sabah dan Sarawak, menerusi perjanjian baharu Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Selain Maswings, AirAsia Bhd juga diberi kepercayaan untuk menyediakan operasi penerbangan di laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu menerusi perjanjian baharu.

Di bawah perjanjian baharu itu, Maswings akan menyediakan perkhidmatan bagi 39 laluan mulai 1 Januari 2019 berbanding 49 laluan sebelum ini di kedua-dua negeri berkenaan dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada masa sama Maswings juga akan menambah laluan bagi destinasi RAS sedia ada iaitu Limbang-Kuching (tiga kali seminggu menggunakan pesawat ATR72); Long Lellang-Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter) dan Long Seridan-Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter).

Selain itu, Maswings turut menyediakan perkhidmatan kargo khas di antara Miri-Bario, Ba'kelalan, Long Seridan, Long Lellang, Long Akah dan Long Banga (sekali seminggu bagi setiap laluan menggunakan pesawat Twin Otter) yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

Loke berkata, di bawah perjanjian baharu itu, mekanisme pemberian subsidi diubah daripada mekanisme berasaskan kerugian operasi RAS dan insentif kewangan kepada mekanisme yang terikat dengan prestasi operasi dan kewangan.

"Insentif diberikan dalam bentuk pembayaran yuran pengurusan tertakluk kepada prestasi operasi dan kewangan. Sehubungan itu, kementerian memperuntukkan sejumlah RM190 juta bagi pembayaran insentif berkenaan untuk tahun ini.

"Namun, pengenaan bayaran penalti akan dikenakan kepada Maswings bagi perkhidmatan yang tidak memuaskan dan tidak mencapai tahap petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan termasuk dari segi prestasi ketepatan masa, kadar pembatalan operasi penerbangan, skor kepuasan pengguna dan sebarang faktor yang dirasakan perlu oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian itu di Putrajaya, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Sa​ripuddin Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Penetapan destinasi dan laluan RAS terbabit adalah berdasarkan Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

Ia mentakrifkan PSO sebagai mengadakan suatu perkhidmatan bagi membawa melalui udara atau penggunaan mana-mana pesawat udara untuk membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah bagi suatu perjalanan berjadual di antara aerodrom yang tidak akan dibuat oleh syarikat penerbangan, jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersialnya semata-mata.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan juga akan meneliti penambahan empat destinasi baharu bagi RAS iaitu Long Pasia di Sabah dan Kapit/Bukit Mabong, Belaga dan Long Silat di Sarawak.

Namun, katanya penambahan destinasi berkenaan adalah tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur penerbangan berkaitan termasuk kos, lokasi dan faktor-faktor lain berkaitan.

"Selain itu, enam laluan RAS yang disediakan oleh Maswings sebelum ini iaitu Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching-Bintulu dan Kuching-Sibu telah dikelaskan kepada laluan komersil sepenuhnya mulai 1 Januari lalu.

"Ini kerana semua laluan berkenaan sudah tidak lagi memenuhi takrifan PSO dan tidak layak untuk dikategorikan sebagai RAS di bawah Akta 771 memandangkan laluan terbabit turut dioperasikan secara bersama oleh Maswings dengan syarikat penerbangan lain," katanya.

Kerajaan pada 16 November 2018 telah bersetuju supaya dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu dikeluarkan daripada senarai laluan RAS dan diklasifikasikan sebagai laluan komersial mulai 1 Januari lalu, kata Loke.

Penyediaan operasi di dua laluan ini akan diberikan secara eksklusif kepada AirAsia selama enam tahun sehingga 31 Disember 2024.

Syarikat itu juga akan dikenakan penalti sehingga RM3 juta setahun sekiranya gagal beroperasi dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kerajaan telah memutuskan bahawa dua laluan ini akan hanya dibuka kepada syarikat penerbangan lain setelah suatu kajian semula ke atas laluan terbabit dilaksanakan bagi memastikannya sudah mencapai tahap kemampanan yang bersesuaian untuk terus beroperasi secara komersial.

"Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan penerbangan dia kedua-dua laluan ini tidak terjejas," katanya.

Berita Harian X