Isnin, 24 Disember 2018 | 9:00am

AirAsia Malaysia kemungkinan jadi syarikat penerbangan terbesar Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia dijangka menjadi syarikat penerbangan terbesar di Asia Tenggara tahun depan berdasarkan trafik penumpang, pengembangan jarak dekat yang agresif dan penambahan pesawat baharu.

Ketua Penganalisis dan wakil Ketua Asia Tenggara, Pusat Kajian Industri Penerbangan Dunia (CAPA), Brendan Sobie, berkata AirAsia Malaysia akan terus berkembang pada kadar pantas yang mencerminkan rekod prestasi syarikat penerbangan itu yang memiliki pertumbuhan tinggi dua angka dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Operasi AirAsia di Malaysia dijangka mencatatkan pengembangan kapasiti dua angka pada tahun depan kerana syarikat itu akan menambah sehingga enam pesawat termasuk Airbus A321neo pertamanya.

Menurut Sobie, syarikat penerbangan tambang rendah jarak dekat itu merancang menggunakan A321neo pada laluan berfrekuensi tinggi, sekali gus akan menyebabkan peningkatan 28 peratus kapasiti tempat duduk berbanding A320ceo, tanpa perlu membuat penerbangan tambahan.

"Dengan anggapan Lion Air tidak akan berkembang tahun depan, AirAsia Malaysia akan terus berkembang tahun depan pada kadar sama seperti tahun ini, sambil membawa lebih ramai penumpang.

“Peningkatan pertumbuhan itu termasuk jumlah penumpang yang dibawa, penghantaran pesawat dan penjanaan pendapatan," katanya kepada Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

Sobie berkata, AirAsia Malaysia boleh mengatasi syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia untuk menjadi syarikat penerbangan terbesar di Asia Tenggara tahun depan memandangkan kapasiti pesaingnya itu agak rendah pada tahun ini dan dijangka tidak melaksanakan pengembangan yang signifikan pada tahun depan.

"Trafik penumpang di Lion Air telah menurun sejak mencapai puncak sebanyak 36 juta pada 2015, manakala trafik penumpang AirAsia Malaysia meningkat hampir 50 peratus sejak 2014.

"Dalam tahun kebelakangan ini, Lion Group lebih memfokuskan pengembangannya melalui dua usaha sama di luar negara iaitu Malindo Air Malaysia dan Thai Lion Air, serta perkhidmatan penuhnya bagi anak syarikat Indonesia, Batik Air," katanya.

Menurut Sobie, penguasaan pasaran AirAsia Malaysia untuk 2018 akan melebihi 40 peratus walaupun pertumbuhan keseluruhan di Malaysia berkurangan kepada kira-kira tiga peratus, berikutan syarikat penerbangan itu berjaya mencatat peningkatan 11 peratus penumpang dalam tiga suku pertama tahun ini.

Katanya, AirAsia Malaysia mendapat manfaat daripada pengurangan kapasiti di Malindo dan Malaysia Airlines yang mana ia akan menyumbang hampir 55 peratus daripada semua trafik penumpang di Malaysia pada tahun ini.

“Ia termasuk lapan peratus bahagian pasaran bagi syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh Malaysia, AirAsia X dan kira-kira lima peratus saham untuk sekutu kumpulan AirAsia di luar negara,” katanya.

Sobie berkata, operasi AirAsia Malaysia menikmati kebangkitan semula dalam pasaran domestik didorong oleh perkembangan dua angka kapasiti domestiknya.

Menurutnya, syarikat penerbangan itu kini menguasai hampir 60 peratus bahagian pasaran kapasiti domestik di Malaysia.

"Ia kini mengendalikan 37 laluan domestik dan telah melancarkan empat laluan domestik termasuk Kuantan dan Ipoh pada tahun ini dan peningkatan frekuensi pada 29 daripada 33 laluan sedia ada," katanya.

Berita Harian X