Jumaat, 7 Disember 2018 | 2:35pm
Pengarah Urusan Public Bank Bhd, Tan Sri Tay Ah Lek (dua kiri) bersama Timbalan Pengarah Urusan Public Bank Bhd, Datuk Chang Kat Kiam (dua kanan) bergambar bersama selepas Pelancaran Perbankan Red Karpet Eksklusif. Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN.
Pengarah Urusan Public Bank Bhd, Tan Sri Tay Ah Lek (dua kiri) bersama Timbalan Pengarah Urusan Public Bank Bhd, Datuk Chang Kat Kiam (dua kanan) bergambar bersama selepas Pelancaran Perbankan Red Karpet Eksklusif. Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN.

Public Bank rancang perluas RCB

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (Public Bank) akan memperluaskan perkhidmatan segmen mewah, Perbankan Red Karpet (RCB) ke seluruh negara pada 2019 sebagai sasaran menarik lebih ramai pelanggan dalam kelompok berkenaan.

Ia juga sejajar dengan usaha bank untuk meningkatkan pencapaian mereka mengembangkan asas pelanggan segmen berkenaan.

Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata setakat ini terdapat tujuh pusat RCB iaitu di Wilayah Persekutuan, Johor dan Melaka.

"Perkhidmatan RCB akan diperluaskan ke seluruh Malaysia pada tahun depan untuk menarik lebih ramai pelanggan mewah dan berada, selain membolehkan lebih ramai pelanggan mendapat manfaat serta keistimewaan RCB Bank," katanya pada pelancaran RCB eksklusif dan kad debit PB RCB Mastercard Premier, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Public Bank, Datuk Chang Kat Kiam dan Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Perry Ong.

Mengulas lanjut, Ah Lek berkata RCB Eksklusif menawarkan pelanggan manfaat seperti deposit tetap PB RCB premier/kempen deposit bertempoh-i, kempen akaun semasa dan simpanan PB RCB, kempen pendaftaran keahlian RCB dan Program Rujukan Pelanggan RCB.

"Sempena pelancaran ini, Public Bank juga menawarkan ganjaran kepada pemegang kad debit RCB Elite dan Gold melalui tiga kempen iaitu mata ganjaran pengaktifan bonus sehingga 10,000 mata ganjaran VIP; pulangan tunai lima peratus bagi urus niaga dalam talian dan luar negeri serta akses percuma ke ruang istirehat Plaza Premium di Malaysia.

"Kempen berkenaan disasarkan bukan hanya bagi memberi ganjaran kepada ahli RCB tetapi juga melengkapi gaya hidup ahli yang gemar mengembara," katanya.

Sementara itu, Ong berkata, pelancaran kad debit PB RCB Mastercard Premier dapat memenuhi keperluan segmen pelanggan terpenting di negara ini.

"Kad debit ini lebih baik daripada tunai dan kad ATM dan akan memberi pengalaman eksklusif kepada pelanggan. Ia juga membantu pemegang kad membuat pembelian selamat dan mudah di seluruh rangkaian niaga yang menerim Mastercard di luar negara," katanya.

Sempena pelancaran itu, turut diperkenalkan kad debit RCB Elite dan RCB Gold yang direka khusus serta dikeluarkan secara eksklusif untuk ahli RCB Elite dan RCB Gold Premier.

Kad berkenaan akan menjadi kad keahlian bagi ahli RCB dan membolehkan pelanggan memperoleh mata ganjaran VIP bagi pembelian runcit.

Mata ganjaran itu boleh digunakan untuk menebus barang atau mata ganjaran AirMiles melalui Katalog PB Redemption.

Berita Harian X