Isnin, 22 Oktober 2018 | 6:35pm

DNeX kerjasama dengan syarikat Thailand

KUALA LUMPUR: Pembekal E-perkhimatan, Dagang NeXchange Bhd (DNeX), bakal menubuhkan syarikat usaha sama dengan kepentingan sebanyak 49:51 bersama TIFFA EDI Services Co Ltd di Thailand bagi perniagaan kemudahan perdagangan dan merentas sempadan.

DNeX dalam satu kenyataan, berkata, anak syarikatnya, DNeXPORT Sdn Bhd, telah menandatangani satu perjanjian pemegangan saham dengan TIFFA EDI melibatkan penubuhan usaha sama tersebut, di mana DNeX akan memegang kepentingan sebanyak 49 peratus.

“Usaha sama ini akan menawarkan perkhidmatan daripada South East Asia Logistic Network (SEALNET), sebuah portal sehenti berasaskan laman sesawang bagi khidmat pengurusan kargo dan perdagangan secara menyeluruh daripada DNeX, di Thailand,” katanya.

Pengarah Eksekutif DNeX Datuk Patrick Wong berkata dengan keupayaan SEALNET dalam pengurusan kargo dan perdagangan yang menyeluruh, syarikat akan dapat membantu pengguna untuk meningkatkan produktiviti serta mewujudkan peluang-peluang perniagaan merentas sempadan bagi Thailand dan negara-negara ASEAN yang lain.

Disasarkan untuk perniagaan dalam sektor kemudahan perdagangan serta logistik, khususnya pengeksport, pengimport dan pembekal perkhidmatan logistik, SEALNET memudahkan proses rangkaian pembekalan dan proses merentas sempadan. – BERNAMA

Berita Harian X