Jumaat, 14 September 2018 | 3:24pm

Celcom tawar diskaun 50 peratus pengguna di Sabah

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd menawarkan diskaun 50 peratus bagi pakej Home Fibre dan Business Fibre, yang hanya disediakan untuk penduduk dan pemilik perniagaan di Sabah, sempena sambutan Hari Malaysia mulai 16 September 2018.

Langkah berkenaan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan bagi menyediakan akses jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamad Idham Nawawi, berkata pihaknya akan terus berusaha memperluas teknologi fiber dan akses internet jalur lebar Celcom Axiata bagi perusahaan dan komuniti di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia juga langkah menyokong agenda kerajaan dalam penembusan jalur lebar ke seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pakej Home Fibre yang baharu menawarkan internet fiber tanpa had dengan kelajuan sehingga 100Mbps pada RM120 setiap bulan manakala harga yang lebih rendah bagi 40Mbps pada RM80 setiap bulan, dengan penghala tanpa wayar dan pemasangan percuma.

Celcom Axiata juga berkata semua pelanggan Celcom Home Fibre sedia ada akan dinaik taraf secara berperingkat kepada 100Mbps sehingga akhir September 2018.

“Pelanggan yang melanggan pelan Home Fiber akan menikmati 10 kali ganda kelajuan internet tanpa sebarang bayaran tambahan,” menurut syarikat itu.

Bagi pelanggan Home Fibre 150 dan 180 pada kelajuan 20Mbps dan 40Mbps masing-masing akan menikmati kelajuan internet 100Mbps secara automatik pada harga lebih rendah iaitu RM120 setiap bulan.

Pelanggan Celcom Business Fibre pula akan dinaik taraf secara berperingkat kepada 100Mbps sehingga akhir September 2018 untuk menikmati Internet berkelajuan tinggi pada hanya RM130 setiap bulan.

-BERNAMA

Berita Harian X