Jumaat, 7 September 2018 | 8:25pm

DRB-HICOM tawar VSS, struktur semula perniagaan

SHAH ALAM: DRB-HICOM Bhd melaksanakan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada semua kakitangan di ibu pejabat, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula kumpulan yang bermula pada 2016.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, skim itu ialah bagi memenuhi cabaran semasa dan masa depan yang bakal dihadapi dalam sektor-sektor di bawah kumpulan.

“Penyusunan semula itu diikuti oleh perubahan struktur, perubahan arah perniagaan dan juga perniagaan baharu di seluruh kumpulan,” katanya.

Sebuah blog sebelum itu melaporkan kira-kira 40 eksekutif DRB-Hicom meninggalkan syarikat itu tidak lama lagi, yang mana 20 daripadanya adalah eksekutif kanan dan terkenal.

DRB-Hicom berkata, andaian dalam artikel berkenaan seolah-olah menunjukkan bahawa ini adalah "pemberhentian beramai-ramai" yang luar biasa.

“Sebenarnya skim perpisahan sukarela ini membolehkan kedua-dua pihak menamatkan hubungan profesional dengan baik. Skim pemisahan tidak semestinya bererti syarikat berada dalam keadaan terumbang-ambing. Skim pemisahan membolehkan pekerja menerima pakej kewangan untuk menampung mereka untuk tempoh seketika, atau bersara, bergantung kepada keadaan.

“Pekerja yang memilih skim pemisahan mempunyai peluang untuk merangkul cabaran baharu di tempat lain dalam industri yang sama atau dalam industri baharu. Pekerja yang masih kekal pula berpeluang menyahut cabaran baharu dalam syarikat dengan mengisi kedudukan kosong yang ditinggalkan,” katanya.

Seramai 41 pekerja DRB-HICOM diberi surat VSS mereka berkuatkuasa 31 Ogos 2018, dan semuanya dari ibu pejabat di Shah Alam. Skim ini tidak dilanjutkan kepada syarikat-syarikat operasi seperti PROTON Holdings Bhd.

Satu majlis ringkas telah diadakan pada 30 Ogos lalu untuk membolehkan kakitangan yang lama bekhidmat, yang sebahagiannya telah bersama dengan DRB-HICOM (sama ada sebagai entiti yang digabungkan atau sebagai dua syarikat berasingan sebelum tahun 2006) sejak 1982.

Sebagai tanda ikhlas DRB-HICOM, kakitangan yang berhenti akan terus menerima faedah kesihatan masing-masing sehingga akhir tahun kewangan semasa pada 31 Mac 2019.

Walaupun DRB-HICOM dikenali sebagai syarikat induk PROTON, ia juga terbabit dalam beberapa perniagaan lain seperti pengurusan alam sekitar (Alam Flora Sdn Bhd), pemeriksaan kenderaan (PUSPAKOM), peralatan pertahanan melalui Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), perbankan (Bank Muamalat) dan perkhidmatan logistik (Pos Malaysia).

DRB-HICOM juga terbabit dalam industri pembangunan hartanah, pengurusan aset dan pembinaan.

Berita Harian X